MANCHESTER: Kepulangan Jadon Sancho ke Manchester, empat tahun selepas beliau meninggalkan Manchester City untuk menyertai Borussia Dortmund, akan menjadi salah satu urus niaga terbesar pada musim panas ini, bukan sahaja pada harga pemain itu, malah juga kegembiraan para peminat.
Harga yang ditetapkan untuk pemain tersebut melonjak mendadak daripada hanya £10 juta ($18.9 juta) menjadi £73 juta, memembuktikan prestasi cemerlang pemain berusia 21 tahun itu semasa di Bundesliga.
Namun, apakah yang dapat peminat Manchester United jangkakan daripada pemain yang akan kembali ke negara di mana beliau belum pernah turun padang di Liga Perdana England (EPL)?
KEPULANGAN YANG DINANTI-NANTI
Banyak perkara yang berlaku sejak Sancho menyertai Bundesliga.
Keputusan untuk berpindah dibuat selepas beliau mempamerkan persembahan yang cemerlang sewaktu kejuaraan bawah 17 tahun Eropah pada 2017, dengan beliau menjadi pemain terbaik apabila England berjaya melangkah ke final.
Pihak Sancho berasakan pemain remaja itu mampu mendapat lebih apa yang ditawarkan dalam kontrak baru bersama Manchester City.
Gaji £30,000 adalah bukti bahawa City mempunyai harapan besar kepada Sancho, tetapi seperti yang terbukti dengan Phil Foden, pengurus Pep Guardiola berasakan pendedahan secara beransur-ansur kepada pasukan pertama adalah cara terbaik untuk maju bagi pemain muda.
Sancho tidak mahu menunggu lama, dan Dortmund menawarkan beliau peluang yang diinginkan.
"Ia sangat jelas," kata Sancho, ketika ditanya mengenai mengapa beliau menyertai Dortmund.
"Mereka menampilkan ramai pemain muda. Mereka mempunyai keyakinan terhadap pemain muda.
"Mereka merupakan kelab besar, dalam liga yang bagus, jadi mengapa tidak?"
Penjelasan Sancho ada benarnya dan hasilnya juga terbukti satu keputusan yang membuahkan hasil.
Tidak dapat disangkalkan bahawa Sancho merupakan antara pemain popular di kalangan rakan sepasukannya di Dortmund.
Gambar yang menunjukkan pemain itu menari di atas meja dan meraikan pencapaian merangkul Piala Jerman - satu-satunya piala yang dimenanginya sewaktu di Dortmund - menunjukkan seorang pemain yang riang dengan sekelilingnya dan rakan sepasukan.
Sancho menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas RB Leipzig dan oleh itu, beliau berhak berpuas hati dengan persembahannya.
Bagaimanapun, kejayaannya itu kurang mendapat perhatian di England, negara kelahirannya sendiri.
Bagi kebanyakan pengamat, analisis kerjaya Sancho hanya tentang gol yang dihasil dan diciptakan.
Memandangkan beliau tidak mendapat perhatian atau membuat interviu dengan media, suasana di Jerman memang sesuai bagi dirinya.
"Dortmund tidak begitu hiruk-pikuk, dan saya suka suasana di sini kerana saya dapat berehat," kata Sancho.
Sekembalinya ke England nanti, beliau mungkin tidak dapat menikmati suasana itu lagi.
Namun kini, Sancho lebih matang untuk menangani segala ujian yang akan dihadapi berbanding semasa a beliau berusia 17 tahun.
BERMULA SEBAGAI PEMAIN BOLA SEPAK JALANAN
Sancho merupakan pemain moden hibrid.
Beliau merupakan produk akademi bola sepak, bermula di Watford, sebelum menyertai Manchester City, namun beliau belajar bermain bola sepak di jalanan atau 'street football', berdekatan dengan rumahnya di Kennington.
Beliau hanya berusia tujuh tahun tetapi sering menyertai pertandingan setempat dengan harapan salah sebuah kelab dapat mengesan bakatnya.
"Bola sepak jalanan tidak akan saya lupakan. Saya membesar dengannya," katanya dalam temu ramah bersama saluran YouTube Dortmund.
"Apa yang telah saya pelajari daripada bola sepak jalanan, saya terapkan semasa beraksi di padang."
Peminat Dortmund tertanya-tanya sebelum kejohanan Euro 2020 jika pengurus England Gareth Southgate jelas bagaimana memanfaatkan bakat Sancho dalam pasukannya.
Ternyata, Sancho hanya memulakan salah satu daripada tujuh perlawanan England dalam kejohanan tersebut.
Sekarang, tugas itu jatuh di bahu Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.
"Apakah kekuatan saya? Kemahiran menggelecek dan menjaringkan gol," kata Sancho baru-baru ini.
Selepas terlepas beraksi dalam pusingan suku akhir Liga Juara-Juara ketika menentang Manchester City, Sancho kembali untuk membantu Dortmund merangkul trofi pertamanya setelah hampir empat tahun, dengan menjuarai Piala DFB-Pokal.
Sepanjang musim lalu, beliau menjaringkan 16 gol dan mencipta 20 peluang dalam semua pertandingan, ditambah dengan 20 gol dan 20 'assist' pada musim sebelumnya.
Pencapaian tersebut menjadikannya sebagai antara pemain muda berbahaya di Eropah.
Dan disebabkan itulah Manchester United sanggup menjadikan Sancho sebagai pemain termahal keempat yang dibeli dalam sejarah mereka selepas Paul Pogba, Harry Maguire dan Romelu Lukaku.
BERI KEYAKINAN UNTUK PEMAIN MUDA LAIN
Sancho boleh dianggap sebagai pemain contoh yang memberi keyakinan untuk pemain muda England lain mencuba nasib di perantauan, sekiranya mereka mendapati peluang mereka di negara itu terhad.
Walaupun belum menyesuaikan diri sepenuhnya dengan kehidupan di Jerman, beliau memahami akan budaya di situ.
Sancho tidak lagi memerlukan kededua ibu bapanya di sampingnya, berbanding dengan ketika beliau berada di City.
Setelah hampir lima tahun di Dortmund, Sancho boleh dianggap sebagai pemain yang paling lama berkhidmat di kelab itu.
Jadi tidak hairanlah jika kakitangan di kelab itu menyampaikan penghargaan mereka di akhir musim lalu, kerana mereka tidak tahu sama ada pemain itu akan kekal di sana.
Jelas, hubungan yang akrab antara Sancho dan semua di kelab itu, dan ianya akan kekal buat masa yang lama. - Agensi berita
RENCAH SANCHO
APA 'SENJATA' SANCHO?
''Apakah kekuatan saya? Kemahiran menggelecek dan menjaringkan gol.''
MENGAPA PINDAH KE DORTMUND?
"Ia sangat jelas.
Mereka menampilkan ramai pemain muda. Mereka mempunyai keyakinan terhadap pemain muda.
Mereka merupakan kelab besar, dalam liga yang bagus, jadi mengapa tidak?''
KESAN BOLA SEPAK JALANAN
"Bola sepak jalanan tidak akan saya lupakan. Saya membesar dengannya.
Apa yang telah saya pelajari daripada bola sepak jalanan, saya terapkan semasa beraksi di padang." "Apakah kekuatan saya? Kemahiran menggelecek dan menjaringkan gol.''


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg