Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain legenda Ronaldo jadi tarikan kecapi kecemerlangan

Apr 29, 2023 | 5:30 AM
DAMBAKAN GOL: Abdul Rasaq Ishiekwene Akeem ingin kekalkan momentum jaringan dan sumbang gol bagi skuad negara dalam Sukan SEA. - Foto PERSATUAN BOLA SEPAK SINGAPURA
DAMBAKAN GOL: Abdul Rasaq Ishiekwene Akeem ingin kekalkan momentum jaringan dan sumbang gol bagi skuad negara dalam Sukan SEA. - Foto PERSATUAN BOLA SEPAK SINGAPURA -

AKSI ligat penyerang dan legenda bola sepak Brazil, Ronaldo Nazario, menjadi tarikan buat Abdul Rasaq Ishiekwene Akeem untuk mengecapi kecemerlangan sepertinya.

Ini setelah menurut penyerang pasukan kebangsaan bawah 22 tahun (U-22) itu, beliau kerap menonton aksi Ronaldo semasa beliau membesar.

Anak kedua di kalangan tiga beradik berusia 21 tahun itu berkata: "Ronaldo merupakan seorang pemain yang menjadi idola saya kerana saya suka melihat gaya permainannya.

"Bila saya tonton klip video beliau, boleh dikatakan beliau mempunyai tahap keyakinan diri amat tinggi dan beliau berani melakukan sesuatu yang berbeza di atas padang."

Keyakinan diri tersebut jugalah yang ingin Abdul Rasaq terapkan dan serlahkan dalam permainan bola sepaknya.

Beliau mula menceburi bola sepak secara profesional pada 2019 apabila menyarung jersi pasukan Singa Muda dalam Liga Perdana Singapura (SPL).

Beliau kemudian berpindah ke kelab Lion City Sailors (LCS) pada 2023, di mana sejauh ini beliau merupakan salah satu penjaring gol terbanyak SPL musim ini - beliau telah menyumbatkan lima gol dalam enam perlawanan.

Sungguhpun beliau berhasil mendapatkan momentum jaringan, ia tidak datang dengan mudah kerana beliau dibelenggu isu keyakinan diri pada awalnya.

"Apabila saya mula-mula sertai LCS, saya rasa saya kurang keyakinan diri.

"Pemain senior yang lain memberi dorongan dengan kata-kata nasihat supaya saya sentiasa mempercayai kebolehan saya.

"Sedikit sebanyak, ia membantu tingkatkan keyakinan diri saya... jadi apabila saya melangkah masuk ke satu perlawanan, saya dapat tumpukan sepenuhnya apa yang perlu saya lakukan," ujarnya.

Penyerang bertubuh sasa itu dijangka menjadi tunjang harapan pasukan Singa dalam Sukan SEA untuk menghasilkan gol dengan ketiadaan tunggak serangan, Ilhan Fandi.

Ini setelah Ilhan masih belum pulih daripada kecederaan yang dialami dalam perlawanan Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) menentang Vietnam pada 30 Disember 2022.

Abdul Rasaq meletakkan jangkaan untuk mengekalkan momentum tersebut bagi skuad kebangsaan.

Beliau berkata: "Sebagai penyerang, adalah tanggungjawab saya untuk menjaringkan gol dan mencipta peluang.

"Sudah tentu saya ingin kekalkan momentum jaringan tetapi saya tidak ingin letakkan jangkaan terlalu tinggi yang akhirnya meleset."

Beliau menjelaskan bahawa rekod jaringannya dalam SPL adalah hasil daripada rakan sepasukan LCS, yang rata-rata lebih berpengalaman.

Ini berbanding skuad kebangsaan Sukan SEA, yang mana rata-rata pemain berada dalam lingkungan usianya jadi ia tidak dapat menandingi dari segi pengalaman tambahnya.

"Sememangnya tekanan itu tetap ada, lebih-lebih lagi kerana saya kini mewakili negara (dalam temasya sukan) tetapi ia adalah impian saya bermain untuk negara dan di tahap tinggi.

"Apa yang penting adalah kami bekerja keras dan bermain secara sepasukan. Selagi mana kami bersatu hati untuk mencapai kemenangan bersama, itulah yang lebih baik," jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg