LONDON: Gol sulung Archie Gray di peringkat senior menjadi pemangkin kebangkitan Tottenham Hotspur selepas dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana England (EPL), apabila mereka menewaskan Crystal Palace 1-0 di Selhurst Park.
Pemain berusia 19 tahun itu memanfaatkan kelalaian pertahanan Palace semasa satu aksi susulan sepakan sudut, menjaringkan gol jarak dekat tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir.
Gol tersebut berlaku selepas Randal Kolo Muani dan kemudian Richarlison memenangi perebutan bola di udara hasil hantaran Pedro Porro.
Spurs hampir menamatkan perlawanan dengan lebih selesa, namun percubaan Wilson Odobert hanya menggegar tiang.
Richarlison pula dua kali dinafikan gol akibat ofsaid selepas semakan VAR (video pembantu pengadil).
Penyerang Brazil itu tersalah langkah ketika menyambut hantaran Mohammed Kudus semasa penghujung perlawanan.
Jaringannya lebih awal pula dibatalkan susulan ofsaid yang berlaku dalam gerakan awal membabitkan Lucas Bergvall, ketika Spurs mula memberi ancaman selepas 17 minit permainan.
Palace sebenarnya lebih berbahaya pada separuh masa pertama, dengan kekuatan fizikal dan kebijaksanaan Jean-Philippe Mateta menahan bola memberi masalah kepada Spurs.
Namun, penyerang Perancis itu mensia-siakan dua peluang terbaiknya apabila satu percubaan tersasar dan satu lagi tandukannya melambung dari jarak dekat.
Justin Devenny melepaskan rembatan dalam kotak penalti Spurs, manakala tandukan Maxence Lacroix pula tersasar ketika Palace berusaha menyamakan kedudukan.
Namun, mereka gagal mencatat sebarang percubaan tepat ke sasaran pada separuh masa kedua dan terpaksa menerima kekalahan liga ketiga berturut-turut.
Kemenangan itu menaikkan Spurs tiga tangga ke kedudukan ke-11, hanya satu mata di belakang Palace yang kekal di tempat kesembilan.
Walaupun Thomas Frank masih belum berjaya membawa perubahan besar kepada prestasi Spurs sejak dilantik, tiga mata berharga ini memberi harapan menjelang separuh kedua musim.
Spurs akan memulakan tahun baru dengan perlawanan pasukan di kelompok bawah liga, sama seperti kedudukan mereka ketika menutup 2025, ketika Frank terus berusaha membentuk identiti pasukan barunya.
Bekas pengurus Brentford itu hanya meraih satu kemenangan daripada lapan perlawanan liga terakhirnya, mengumpul lima mata daripada 24 mata maksimum.
Walaupun tempoh penyesuaian sememangnya dijangka, mutu hambar dalam beberapa aksi tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.
Untuk kali kelima musim ini, Spurs gagal menghasilkan sebarang percubaan dalam 30 minit pertama perlawanan liga, satu statistik yang hanya turut dicatat oleh Burnley yang berada di tangga kedua tercorot.
Selepas jaringan Gray, mereka sekali lagi melalui tempoh 30 minit tanpa sebarang percubaan sebelum Odobert hampir menggandakan kelebihan Spurs.
Dalam perlawanan yang kurang berkualiti, pasukan kendalian Frank tetap mempamerkan semangat juang dan ketahanan mental untuk mengesahkan kemenangan, yang diharap dapat menjadi titik tolak kebangkitan pasukan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg