Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain muda Farhan tekad beri yang terbaik bagi S'pura

Mahu akhiri musim dengan sempurna lepas tahun 'roller-coaster' dek cedera, Covid-19
Dec 27, 2022 | 5:30 AM
BANGKIT CEMERLANG: Farhan (kanan) dijangka membuat penampilan sulungnya bagi Singapura di Piala AFF 2022. Ini kali kedua pemain berusia 20 tahun ini disertakan dalam skuad senior nasional. - Foto FAS
BANGKIT CEMERLANG: Farhan (kanan) dijangka membuat penampilan sulungnya bagi Singapura di Piala AFF 2022. Ini kali kedua pemain berusia 20 tahun ini disertakan dalam skuad senior nasional. - Foto FAS -

TAHUN 2022 dianggap tahun roller-coaster bagi pemain bek sayap Singapura Farhan Zulkifli.

Belia berusia 20 tahun itu mengalami kecederaan kepala kedua dalam setahun pada Disember tahun lalu, dan setelah pulih beliau terlepas dalam Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Bawah 23 Tahun kerana dijangkiti Covid-19 selama 15 hari di Kemboja.

Namun, bakat muda yang melonjak naik itu bangkit mencari semula kecergasan serta keyakinan untuk menamatkan musim dengan sempurna.

Bulan lalu, Farhan memainkan peranan dalam skuad Hougang United - termasuk melakukan assist bagi gol kemenangan penyerang Kristijan Krajcek - untuk merangkul Piala Singapura bersejarah kelab itu.

Beliau juga terlibat dalam Liga Pusat Kecemerlangan (COE) Bawah 21 Tahun bersama pasukan belia The Cheetahs dan memenangi anugerah Penjaring Gol Terbanyak dengan tujuh gol.

Dan usaha Farhan diiktiraf baru-baru ini apabila beliau mendapat panggilan jurulatih Takayuki Nishigaya untuk menyertai skuad Singa dalam Piala AFF 2022.

"Apabila mendapat panggilan daripada pengurus pasukan bahawa saya berjaya memasuki skuad Singapura untuk Piala AFF, saya sebenarnya baru bangun dari tidur petang saya," imbas Farhan, yang membuat penampilan profesional sulungnya dalam Liga Perdana Singapura (SPL) bersama Hougang pada usia 16 tahun.

Ia panggilan kedua bagi Farhan menyertai skuad senior Singapura - kali pertama bagi Kelayakan Piala Asia AFC pada Oktober 2019, tetapi beliau tidak diturunkan - tetapi yang pertama bagi Piala AFF.

"Saya rasa terkejut sebab saya mengalami beberapa kecederaan pada awal musim. Sangat sukar untuk saya kembali cergas dan hanya sejak beberapa bulan lalu saya menemui semula keyakinan diri... Ia adalah musim roller-coaster untuk saya," katanya.

Permulaan Farhan dalam bola sepak ialah di Kelab Masyarakat Ayer Rajah lapan tahun lalu, apabila beliau kali pertama mencuba sukan itu.

"Saya tidak datang daripada keluarga mewah jadi bermain bola sepak memberi saya kegembiraan. Saya dapat mengekspresikan diri," kata beliau, yang pada awalnya bermain bola keranjang di sekolah rendah.

Farhan kemudian "jatuh cinta" pada bola sepak selepas kerap bermain bola sepak jalanan di kolong blok.

"Dari kolong blok ke pasukan nasional adalah satu pencapaian untuk saya," kata Farhan.

Ditambah dengan kemenangan Piala Singapura, Farhan kini bersemangat untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

"Hingga kini, apabila melihat kembali gambar dan video daripada perlawanan akhir Piala Singapura, ia berasa luar biasa. Sebagai seorang pemain muda, anda sentiasa bercita-cita menang piala begitu," ujar Farhan.

"Saya berharap saya dapat membuat penampilan pertama saya untuk Singapura dalam Piala AFF. Saya akan memberi yang terbaik jika diturunkan, supaya dapat membantu negara berjaya."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg