Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain muda sensasi Jadon Sancho sertai Man U

Jul 5, 2021 | 5:30 AM
 JARING DUA GOL: Sancho (dua dari kanan) menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-1 Dortmund ke atas Leipzig bagi memenangi Piala Jerman Mei lalu. - Foto AFP
JARING DUA GOL: Sancho (dua dari kanan) menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-1 Dortmund ke atas Leipzig bagi memenangi Piala Jerman Mei lalu. - Foto AFP -

LONDON: Ketibaan pemain muda sensasi Borussia Dortmund Jadon Sancho, yang dilaporkan menyertai Manchester United pada bayaran £73 juta ($135 juta), mengujakan banyak pihak.

Prospek pemain itu bermain di sayap kanan di Old Trafford mengingatkan kembali tentang David Beckham - yang pernah bermain di posisi itu di Red Devils.

Jadon, yang dilaporkan telah bersetuju dengan kontrak lima tahun, mempunyai gaya, kelincahan dan keupayaan menggelecek lawan dengan kemahiran atau pergerakan pinggul mengelirukan, sama seperti gaya pemain hebat sebelum ini di United, seperti Cristiano Ronaldo, Ryan Giggs dan George Best.

Kembalinya Sancho ke bandar Manchester, empat tahun selepas dia meninggalkan Manchester City untuk menyertai Dortmund, akan menjadi salah satu topik terbesar musim panas ini, baik dari segi harga mahupun perbualan ramai.

Nilainya meningkat daripada £10 juta kepada £73 juta menggambarkan kemajuan besar yang dicapai pemain berusia 21 tahun itu di Jerman.

Namun, apa dapat diharapkan daripada pemain ini sedang beliau tidak pernah pun menjadi pemain bangku simpanan bagi pertandingan Liga Perdana England (EPL)?

PULANG KE 'TEMPAT ASAL'

Banyak berlaku kepada Sancho sejak beliau pergi ke Bundesliga. Keputusan pindah ke sana didorong satu siri persembahan semasa Kejuaraan Bawah 17 Tahun Eropah 2017, dengan beliau menjadi pemain terbaik kejohanan itu semasa England mara ke final.

Pihak Sancho berasa remaja itu mempunyai keupayaan melebihi kontrak yang ditawarkan City.

Gaji mingguan £30,000 ialah bukti mengenai harapan City terhadap Sancho, tetapi, seperti yang terbukti dengan Phil Foden, pengurus Pep Guardiola berasa pendedahan beransur-ansur kepada pasukan utama adalah cara terbaik untuk maju.

DASAR PEMAIN MUDA

Namun, Sancho tidak mahu menunggu. Dan Dortmund memberinya peluang. Dasar kelab itu ialah menarik minat pemain muda yang penuh potensi. Ketika memikat pemain muda, kelab itu menunjukkan senarai nama pemainnya.

Pemain muda musim lalu merangkumi Sancho, Erling Braut Haaland, Jude Bellingham dan Gio Reyna. Haaland berusia 20, Bellingham dan Reyna baru berusia 18 tahun.

"Sudah jelas," kata Sancho, ketika ditanya dalam satu wawancara pada 2019 mengapa beliau menyertai Dortmund.

"Mereka menggunakan banyak pemain muda. Mereka ada keyakinan pada pemain muda. Ia sebuah kelab besar, dalam liga bagus, jadi kenapa tidak?"

Alasan Sancho tepat - dan hasilnya mewajarkan beliau menolak tawaran kontrak City. Popularitinya dalam skuad Dortmund tidak diragukan.

Gambar-gambar beliau menari di atas meja, merai kemenangan final Piala Jerman - satu-satunya trofi kemenangan penting semasa beliau berada di kelab itu - menunjukkan seorang pemuda gembira dengan sekitarannya, dan bersama rakan sepasukannya.

Sancho menjaringkan dua gol semasa menewaskan RB Leipzig 4-1 hingga beliau mempunyai alasan untuk gembira.

Namun, adegan itu tidak disedari di England. Bagi kebanyakan orang, analisis kerjaya Sancho ialah peringatan berkala mengenai jaringan golnya dan bantuan kepada rakan untuk menjaringkan gol.

Memandangkan beliau tidak begitu selesa disorot atau diwawancara media, perkara itu sesuai buatnya.

"Dortmund tidak sibuk," kata Sancho. "London lebih sibuk. Dortmund amat dingin, tetapi saya suka kerana saya boleh banyak berehat."

BOLA SEPAK JALANAN

Sancho adalah satu campuran dalam zaman moden ini. Beliau produk akademi, pertama di Watford, kemudian di City, tetapi beliau belajar bermain - dan menggelecek lawan - melalui bola sepak jalanan dekat rumahnya di Kennington.

Ketika berusia tujuh tahun, beliau muncul di kejohanan tempatan dengan harapan salah satu pasukan kekurangan pemain dan beliau dapat bermain. Perkara ini tidak dilupakannya.

"Bola sepak jalanan tidak akan pernah meninggalkan saya," katanya dalam satu wawancara bersama saluran YouTube Dortmund.

"Saya membesar dengannya. Apa yang saya pelajari daripada bola sepak jalanan adalah apa yang selalu saya lakukan. Ia sangat berbeza. Bola sepak ialah untuk kita bergembira." - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg