GEYLANG International telah memperkukuh pasukannya bagi musim 2022 dengan mendapatkan khidmat pemain midfield warga Perancis Vincent Bezecourt, yang pernah beraksi dalam Liga Europa dan Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat.
Bezecourt, 28 tahun, yang bermain dalam Liga Perdana Armenia (APL) bersama Alashkert, mewakili kelab itu dalam Liga Europa dan Liga Persidangan Europa tahun lalu.
Beliau pernah beraksi bagi kelab MLS New York Red Bulls (2016-2019), walaupun lebih banyak disertakan dalam pasukan New York Red Bulls II yang beraksi dalam Liga Bola Sepak United (USL).
Mengumumkan penyertaan Bezecourt dalam skuadnya, Geylang berkata dalam satu kenyataan Bezecourt seorang pemain midfield terbukti, dan ia berharap beliau dapat menguasai midfield dan bekerjasama dengan pemain lain, seperti Umar Akhbar, Huzaifah Aziz dan seorang lagi pemain import, Takahiro Tezuka, dari Jepun.
Geylang memperkukuh semua bahagian utama pasukannya.
Di barisan depan, ia mendapatkan khidmat Sime Zuzul, 26 tahun, yang menyarung jersi Balestier Khalsa sejak tiga musim lalu.
Warga Croatia itu menjaringkan 15 gol dalam 21 perlawanan bagi Balestier musim lalu.
"Saya ghairah untuk menyertai keluarga Geylang dan saya ingin melakukan perkara hebat bagi kelab ini pada musim akan datang," ujarnya.
Geylang memperkukuh barisan pertahanannya dengan bekas pemain Albirex Niigata Rio Sakuma menyertai benteng berpengalamannya yang dianggotai Abdil Qaiyyim, Fadli Kamis dan Ilhan Noor.
Mengulas mengenai persiapan Geylang menjelang musim ini, ketua jurulatih Noor Ali berkata beliau yakin pasukannya boleh membuat beberapa kejutan.
"Kami ghairah menantikan musim baru bermula. Matlamat kami sentiasa ialah bersaing secara serius bagi kejuaraan liga. Begitu juga musim ini. Kami berupaya menyebabkan beberapa keputusan tidak dijangka dan memenangi perlawanan.
"Saya yakin akan keupayaan pemain, dan saya boleh lihat keinginan yang ditunjukkan mereka sedang kami membuat persiapan bagi musim panjang," ujar beliau.
Geylang antara kelab paling berjaya dalam bola sepak tempatan, mengakhiri musim lalu Liga Perdana Singapura (SPL) di tangga keenam.
Musim 2022 SPL bermula 25 Februari.