PARIS: Dua pemain Perancis, Kingsley Coman dan Aurelien Tchouameni, yang gagal menjaringkan penalti masing-masing dalam final Piala Dunia Qatar 2022 menentang Argentina, dilontar kecaman perkauman dalam talian.
Perancis tewas 2-4 kepada Argentina dalam final itu, dengan kegagalan Coman dan Tchouameni membawa padah. Penalti Coman diselamatkan oleh penjaga gawang Argentina, Emiliano Martinez, sementara tendangan Tchouameni tersasar.
Kelab Coman, Bayern Munich dari Jerman, telah memberi mesej sokongan kepada pemain berusia 26 tahun itu.
"FC Bayern mengutuk keras semua komen perkauman yang dilontarkan terhadap Kingsley Coman," kata kelab Bundesliga Jerman itu dalam satu kenyataan dalam talian.
"Keluarga FC Bayern bersepadu menyokong anda, King. Sifat perkauman tiada tempat dalam sukan atau masyarakat kami."
Kata-kata perkauman terhadap pemain bola sepak kulit hitam gagal menjaringkan penalti itu ialah yang terkini sejak insiden serupa di Kejohanan Eropah (Euro) 2020.
Pada masa itu, Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukaya Saka dilontar kata perkauman selepas gagal menjaringkan penalti di final bagi England, yang tewas melalui tendangan penalti kepada Italy. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg