MADRID: Penyokong Atletico Madrid dirakam melontar kata-kata berbaur perkauman terhadap penyerang Real Madrid dari Brazil, Vinicius Junior, di luar Stadium Metropolitano mereka sebelum perlawanan derby Madrid Ahad lalu.
Ratusan penyokong Atletico dapat didengar menyanyi "Vinicius, awak seekor monyet, awak seekor monyet" dalam video yang dimuat naik di media sosial oleh stesen radio Cadena Cope sebelum perlawanan yang dimenangi Real menang 2-1 itu.
Media tempatan juga melaporkan bunyi monyet dan nyanyian "mati Vinicius" didengar sepanjang perlawanan.
Sebelum perlawanan, presiden Atletico Enrique Cerezo berkata kepada Mundo Deportivo: "Saya akan meminta Vinicius mengajar saya cara menari samba Pemain mengekspresi diri mereka sesuka hati. Hanya satu perkara, iaitu ekspresi mereka perlu menunjukkan rasa hormat pada orang sekeliling apabila ia bukan padang mereka."
Akhbar berpangkalan di Madrid Marca dan Cadena Cope melaporkan La Liga sedang memfailkan aduan bertulis kepada Suruhanjaya Pencegahan Keganasan, dan mencadangkan Atletico mungkin dikenakan penalti kewangan.
Seorang jurucakap La Liga berkata kepada BBC: "Kami mengecam semua insiden di dalam dan luar stadium... Kata-kata kebencian tiada tempat dalam La Liga, dan kami sentiasa bekerjasama dengan kelab dan pihak berkuasa untuk mengenal pasti dan membawa ke muka pengadilan sembarang kes sedemikian."
Ketua Persatuan Ejen Bola Sepak Sepanyol Pedro Bravo dikritik minggu lalu kerana berkata Vinicius perlu berhenti "berkelakuan bodoh" ketika meraikan gol dengan gerakan tarian khasnya.
Beberapa pemain bola sepak Brazil, termasuk Pele, Neymar dan Dani Alves, serta Konfederasi Bola Sepak Brazil mengecam komen itu sebagai berbaur perkauman. Tetapi Bravo berkata komen itu tidak bertujuan ditafsirkan sebagai bersifat perkauman, sebaliknya ia frasa biasa digunakan dalam bahasa Sepanyol.
Vinicius, 22 tahun, dan Real, bagaimanapun, mengeluarkan kenyataan mengutuk penderaan perkauman yang dialami pemain itu sepanjang kerjayanya.
Bintang itu berkata: "Saya mangsa xenofobia dan perkauman... Kegembiraan seorang warga kulit hitam Brazil yang berjaya di Eropah menyusahkan lebih ramai orang. Ini tarian untuk merai kepelbagaian budaya dunia. Sama ada awak terima, hormati atau tidak menyukainya, saya tidak akan berhenti." - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg