TOKYO: Peminat sukan berkumpul di sepanjang laluan acara triathlon semalam untuk merebut peluang menyaksikan perlumbaan itu secara langsung walaupun terdapat seruan daripada pihak penganjur agar penonton menyaksikannya dari rumah.
Atlet telah bertanding tanpa penonton setelah penonton dilarang masuk ke tempat pertandingan sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga daripada Covid-19 di Tokyo, yang masih berada dalam keadaan darurat disebabkan peningkatan kes jangkitan wabak itu.
Bagi peminat Olimpik, sekatan ke atas penonton mengakhiri impian untuk menyaksikan atlet bertanding di tempat mereka.
Namun, di sepanjang laluan triathlon terbuka di pulau Odaiba di Teluk Tokyo, peminat berkumpul menentang gesaan kakitangan Olimpik yang membawa tanda-tanda yang ditulis dengan arahan: "Untuk mencegah penuralan jangkitan, kami meminta anda agar tidak menonton di pinggir jalan."
"Saya rasa risiko dijangkiti sangat rendah," kata pekerja kewangan berusia 35 tahun, Masao Kitada, yang berdiri di tepi jalan.
"Sukan Olimpik Tokyo ini sangat istimewa, jadi saya tidak boleh melepaskan peluang ini."
Acara triathlon lelaki dimenangi oleh atlet Norway, Kristian Blummenfelt, yang berjaya meluaskan jurang dalam usahanya merebut emas.
"Tidak ramai orang di sini sehingga suasananya tenang, tetapi sangat luar biasa untuk melihat atlet bertanding," kata seorang penonton dari Jerman, Gerald Lies, 45 tahun.
Hisashi Onitsuka, 61 tahun, yang bekerja di bidang insurans telahpun mendapatkan tiket bagi menyaksikan acara triathlon sebelum larangan tersebut dikuatkuasakan.
"Saya mendapat cuti sehari di syarikat saya dan saya ke sini untuk peluang menyaksikan sukan ini secara dekat," katanya.
Negara tuan rumah, di mana tinjauan menunjukkan penentangan yang meluas untuk terus menganjurkan temasya Sukan Olimpik ini di tengah-tengah pandemik, kian berada dalam landasan untuk merebut tempat pertama dalam kedudukan pingat keseluruhan.
Pihak penganjur berharap dengan kejayaan ini, semangat dapat dirasakan di kalangan penduduk Jepun. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg