Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

MENJELANG SUKAN SEA KEMBOJA 2023

Penantian pasukan bola tampar wanita, lelaki berakhir

Kali pertama kededua pasukan beraksi bersama di Sukan SEA sejak 2015
Apr 27, 2023 | 05:30 AM



SELEPAS lapan tahun menyepi, pasukan bola tampar wanita Singapura kembali beraksi dalam Sukan SEA untuk menebus waktu yang hilang.



Kali terakhir mereka tampil dalam temasya sukan dwitahunan itu adalah pada 2015.



Dalam edisi tersebut, yang mana Singapura menjadi tuan rumah, mereka berjaya menggondol pingat gangsa.



Pemain bola tampar wanita Singapura, Sofi Arini Azni, 18 tahun, mungkin terlalu muda untuk mengingati pencapaian itu.



Tetapi, beliau akur memahami betapa pentingnya penyertaan pasukan dalam Sukan SEA kali ini.



Ditemui di pangkalan latihan pasukan di OCBC Arena di Hab Sukan Singapura baru-baru ini, Sofi, yang bermain posisi penghalang tengah, atau 'middle blocker', dan setinggi 179 sentimeter memberitahu Berita Harian:



"Ia adalah detik yang membanggakan untuk Singapura kembali menyertai Sukan SEA. Pasukan dan jurulatih telah berlatih bersungguh-sungguh.



"Saya fikir ia adalah peluang yang sangat baik untuk kami mendedahkan diri kepada pelbagai pemain dari luar negara dan memperluaskan lagi pengalaman kami."



Skuad bola tampar wanita seramai 14 pemain dalam Sukan SEA 2023, yang diadakan di Kemboja pada 5 hingga 17 Mei, akan diwakili oleh ramai muka-muka baru termasuk Sofi.



Hanya pemain veteran Quek Soo Teng kekal bertahan daripada pasukan yang beraksi pada edisi 2015.



"Sebagai salah seorang pemain muda… sama ada saya diturunkan atau tidak, saya tekad untuk memberi sorakan kepada pasukan," kata Sofi, yang mula berjinak dalam bola tampar semasa di sekolah menengah. Beliau, yang juga pernah bergiat dalam golf seawal usia tujuh tahun, telah dipanggil menyertai pasukan nasional pada 2022.



"Saya ingin belajar daripada pemain luar negara dan menggunakan ilmu yang ditimba untuk mengembangkan perjalanan bola tampar saya," tambah pelajar jurusan pengurusan sukan di ITE Kolej Central itu.



Edisi Sukan SEA tahun ini juga lebih istimewa kerana ia merupakan kali pertama sejak 2015 kededua pasukan wanita dan lelaki bola tampar Singapura ditampilkan dalam temasya sukan yang sama.



Pelajar Institusi Hwa Chong, Aniq Aiman Shaugi, 18 tahun, adalah antara pemain lelaki negara yang akan diperkenalkan di Sukan SEA ini.



Meskipun teruja dan bersyukur diberikan peluang keemasan itu, Aniq, yang tingginya 194 sentimeter, mengakui bahawa temasya sukan Asia Tenggara adalah pentas yang menggerunkan.



"Pastinya ada tekanan tambahan sebab kami akan menyarung jersi Singapura. Tetapi, sebahagian besar pengalaman Sukan SEA ini adalah untuk saya belajar sebanyak yang mungkin dan cuba melakukan yang terbaik," ujar beliau, yang bermain posisi penghalang tengah.



Mengenai permulaannya dalam bola tampar, Aniq berkongsi bahawa beliau terjebak dalam sukan itu kerana tidak mempunyai pilihan lain.



"Sewaktu saya kecil, saya agak gemuk dan tiada mana sukan yang mahukan saya. Jadi, saya menyertai bola tampar.



"Saya fikir bola tampar hanya akan menjadi satu kegiatan kokurikulum semasa sekolah rendah saja dan saya akan bertukar kepada yang lain di sekolah menengah. Tetapi, ia kekal bersama saya sehingga hari ini," tambah Aniq, yang menjadi pemain nasional sejak 2020.



Selain edisi 2015, pasukan lelaki negara sebelumnya pernah juga bertanding pada 2019 di Manila. Dalam kededua edisi itu, Singapura tercorot di tempat terakhir.



Gangsa yang diraih pada 1993 di laman sendiri adalah pingat terakhir pasukan bola tampar lelaki negara dalam Sukan SEA.




Ia adalah detik yang membanggakan untuk Singapura kembali menyertai Sukan SEA. Pasukan dan jurulatih telah berlatih bersungguh-sungguh. Saya fikir ia adalah peluang yang sangat baik untuk kami mendedahkan diri kepada pelbagai pemain dari luar negara dan memperluaskan lagi pengalaman kami."



- Sofi Arini Azni, pemain bola tampar wanita Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >