Mark Jackson mungkin merupakan wajah baharu bagi Lion City Sailors, tetapi jurulatih itu tidak asing dengan cabaran yang menantinya apabila pasukannya membuka kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang BG Pathum United pada 17 September.

Jackson baru sahaja mengambil alih tugas sebagai jurulatih Sailors dan hanya sempat menjalani satu sesi latihan sebelum pertemuan di Stadium Jalan Besar, selepas urusan visanya selesai.

Bagaimanapun, beliau membawa pengalaman luas dalam menghadapi pasukan-pasukan Thailand, setelah membimbing Buriram United meraih kejuaraan Liga Thailand, Piala FA Thailand dan Piala Shopee musim lalu.

Ketika bercakap pada sidang media praperlawanan di Pusat Latihan Lion City Sailors pada 16 September, Jackson mengakui beliau sudah mengenali BG Pathum hasil pengalamannya ketika berada di Thailand.

“Mereka pasukan yang tersusun. Mereka mempunyai cara permainan tertentu dan pemain yang bagus,” kata Jackson, yang mengakui tidak mempunyai masa untuk membuat perubahan besar terhadap pasukan Sailors.

“Saya rasa kami tidak boleh melaksanakan terlalu banyak perkara. Kami hanya boleh membuat beberapa penyesuaian kecil,” tambahnya.

Jurulatih BG Pathum United, Surachai Jaturapattarapong (kiri), dan pemain tengah, Kritsada Kaman (kanan), optimis menjelang aksi menentang Lion City Sailors walaupun sedar lawan kini mendapat sentuhan jurulatih baharu dari England.
Jurulatih BG Pathum United, Surachai Jaturapattarapong (kiri), dan pemain tengah, Kritsada Kaman (kanan), optimis menjelang aksi menentang Lion City Sailors walaupun sedar lawan kini mendapat sentuhan jurulatih baharu dari England. - Foto BH oleh KHALID BABA

Situasi itu menjadikan pertembungan ini menarik, kerana BG Pathum tidak datang ke Singapura tanpa mengenali kekuatan lawan mereka.

Jurulatih BG Pathum, Surachai Jaturapattarapong, berkata perubahan jurulatih di kem Sailors tidak bermakna pasukan itu akan berubah sepenuhnya.

“Walaupun mereka mempunyai jurulatih baharu, sistem pasukan masih kekal,” katanya, sambil mengakui beliau sendiri mengenali Jackson daripada tempoh jurulatih itu bersama Buriram.

Dengan kedua-dua pihak mempunyai gambaran mengenai lawan masing-masing, perlawanan Kumpulan F itu dijangka lebih banyak ditentukan oleh kemampuan untuk melaksanakan rancangan masing-masing berbanding unsur kejutan.

BG Pathum juga mempunyai pengalaman menentang Sailors, selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam peringkat kumpulan Piala Singapura pada Mac 2025.

Sailors ketika itu bermain hampir sepanjang perlawanan dengan 10 pemain, selepas Song Ui-young dilayang kad merah awal perlawanan, sebelum BG Pathum menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Bagi kapten Sailors, Hariss Harun, keputusan lalu bagaimanapun tidak membawa banyak makna menjelang pertemuan kali ini.

Beliau mengakui rekod Sailors menentang BG Pathum bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi melihat perlawanan ini sebagai peluang untuk mengubahnya.

“Esok (17 September) tidak bermakna apa-apa. Apabila anda melangkah ke padang, anda perlu memberikan segala-galanya dan beraksi,” katanya.

Sailors juga perlu bangkit daripada permulaan liga yang kurang meyakinkan selepas mereka sekadar seri 2-2 dengan Hougang United dalam aksi pembukaan Liga Perdana Singapura (SPL).

Sebaliknya, BG Pathum datang selepas menewaskan Rasisalai United 3-2 dalam Liga Thailand pada 12 September, walaupun mereka sebelum itu seri tanpa jaringan dengan Pattani FC.

Bagi pemain tengah BG Pathum, Kritsada Kaman, pengalaman bermain di pentas ACL2 musim lalu turut memberi keyakinan menjelang perlawanan.

“Saya rasa pengalaman itu membantu. Setiap kali kami bermain, kami perlu fokus dan memberikan 100 peratus,” katanya.

Kritsada, yang diturunkan dalam kesebelasan utama dalam kesemua perlawanan BG Pathum dalam kempen ACL2 musim lalu, turut mengakui perlawanan kali ini berbeza daripada pertemuan Piala Singapura kerana kedua-dua pasukan kini memiliki ramai pemain asing berkualiti dan berdepan tuntutan lebih tinggi di pentas Asia.

Perkara itu bakal menjadikan pertembungan mereka di Stadium Jalan Besar nanti lebih menarik.