Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Pengganti Yoshida harus cermin hala tuju bola sepak SG

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

SUKAN SETEMPAT

Pengganti Yoshida harus cermin hala tuju bola sepak SG

Jan 05, 2022 | 05:30 AM

DENGAN Tatsuma Yoshida kelmarin diumumkan sebagai ketua jurulatih kelab Liga J2 Jepun, Ventforet Kofu, tampak jelas bekas jurulatih pasukan nasional Singapura itu telah meneruskan kehidupan dan 'move on' daripada bola sepak setempat dengan begitu cepat.

Dan dengan sekitar lima bulan sebelum pasukan Singa kembali bertanding dalam kejohanan utama - iaitu kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2023 pada Jun ini - Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) juga harus 'move on' untuk mengorak langkah seterusnya bagi pasukan Singa.

Masa namun semakin suntuk untuk badan bola sepak negara itu mencari pengganti Yoshida, yang telah meninggalkan kesan positif selepas berjaya membimbing Singapura ke separuh akhir Piala Suzuki AFF buat pertama kali sejak 2012.

Yoshida, 47 tahun, meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan nasional Singapura beberapa hari selepas tamat kempen Piala Suzuki 2020 mereka, menyatakan keperluan beliau untuk berada lebih dekat di samping keluarganya sebagai sebab pengunduran.

Kekosongan yang ditinggalkan Yoshida perlu diisi segera, tetapi siapa yang layak duduk di 'kerusi panas' pasukan Singa?

JURULATIH TEMPATAN

Peletakan jawatan Yoshida merupakan yang kedua buat FAS dalam tempoh dua bulan.

November lalu, Joseph Palatsides meletakkan jawatan sebagai pengarah teknikal untuk pulang ke negara asalnya, Australia, memberi sebab keluarga dan kesihatan.

Beliau kini ketua belia bagi kelab Australia, Melbourne Victory.

Kecewa dengan komitmen pelantikan warga asing ini, ramai penyokong bola sepak setempat menyuarakan pendapat agar jurulatih warga Singapura dilantik menerajui pasukan nasional.

Antara nama yang disebut ramai termasuk Kadir Yahaya, jurulatih yang memimpin Singapura meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Belia 2010, dan jurulatih kelab Liga Super Malaysia (MSL) Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin.

Kedah adalah naib juara MSL untuk dua musim berturut-turut sejak 2020, di belakang Johor Darul Takzim, dan dalam musim pertamanya bersama pasukan Lang Helang, Aidil memimpin mereka menjuarai Piala FA Malaysia pada 2019.

Bekas jurulatih pasukan nasional Fandi Ahmad (2018) dan V. Sundramoorthy (2013, 2016-2018) turut menjadi calon utama sekiranya FAS memilih laluan pelantikan bakat di tanah air.

Meskipun pelantikan jurulatih tempatan menjamin komitmen, namun kekurangan mungkin terletak pada pengalaman dan keupayaannya.

Kelmarin, warga Malaysia Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan nasional Malaysia selepas kempen Piala Suzuki yang mengecewakan.

Mampukah jurulatih tempatan membawa pasukan Singa berdaya saing di peringkat Asia, menentang pasukan handal seperti Jepun, Korea Selatan dan Iran?

Pasukan Thailand memiliki jurulatih Jerman Alexandre Polking, sementara Vietnam dan Indonesia masing-masing dipimpin jurulatih Korea Selatan, Park Hang-seo dan Shin Tae-yong. Tahap bola sepak di negara-negara ini jauh lebih maju berbanding di Kota Singa.

Malah, pelantikan jurulatih warga Singapura boleh dianggap FAS telah mengundur dua langkah ke belakang dalam mencapai sasarannya untuk pasukan Singa bertanding di Piala Dunia 2034.

JURULATIH ASING

FAS, dalam satu sidang media sebelum ini, berkata keutamaan untuk jurulatih pasukan nasional seterusnya adalah untuk mengongsi falsafah permainan yang sama seperti Yoshida, yang dilantik pada Mei 2019.

Presiden FAS Lim Kia Tong menambah beliau juga akan berbual dengan presiden Persatuan Bola Sepak Jepun Kozo Tashima untuk melihat sama ada Tashima mempunyai cadangan untuk pengganti Yoshida. Setiausaha Agung FAS Yazeen Buhari turut menekankan FAS tidak akan mengehadkan pencarian mereka kepada jurulatih Jepun sahaja.

Dalam sejarah jurulatih pasukan nasional Singapura, kebanyakan kejayaannya datang daripada jurulatih asing. Warga Serbia Raddy Avramovic, dalam tempoh sembilan tahunnya bersama pasukan Singa sejak 2003, membimbing Singapura menang trofi kejuaraan Piala AFF tiga kali.

FAS hampir berjaya menjumpai keserasian bersama Yoshida. Jadi, tidak hairanlah jika sejarah mungkin berulang.

Tetapi, persoalannya adalah sama ada jurulatih asing ini dapat memahami dan menyesuai diri kepada bola sepak Singapura dalam tempoh yang sangat singkat.

Tidak mustahil, kerana Polking berjaya memimpin Thailand menjuarai Piala Suzuki 2020 dalam tempoh tiga bulan pelantikan.

Bagaimanapun, warga Jerman itu memberi kredit kepada liga Thai yang kompetitif, yang mampu menghasilkan pemain tempatan yang mantap. Pemain Thai yang mengembangkan sayap di luar negara juga menyumbang kepada kejayaan pasukan Gajah Perang itu.

Natijahnya, tidak kira jurulatih asing atau tempatan, tanggungjawab untuk memajukan bola sepak negara tidak hanya dibebani jurulatih pasukan nasional seorang, walaupun penting mencari calon yang berwibawa.

FAS harus melabur untuk mempergiatkan saingan kelab-kelab dalam Liga Perdana Singapura, manakala pemain terbaik Singapura perlu mencabar diri beraksi di liga tahap tinggi Asia.

Hanya dengan itu bola sepak Singapura dapat ke tahap yang lebih tinggi dan tugas jurulatih pasukan nasional dapat dipermudahkan untuk mencapai kejayaan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3