Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengunjung F1 capai paras tertinggi, S'pura 'kembali ke landasan tepat': Iswaran

Oct 3, 2022 | 5:30 AM
HUJAN TIDAK HALANG AKSI: Para petugas cuba mengeringkan balapan sebelum perlumbaan Grand Prix Singapura 2022 malam tadi. Perlumbaan F1 yang dijadual berlangsung pada 8 malam ditunda kira-kira sejam akibat hujan lebat. - Foto REUTERS
HUJAN TIDAK HALANG AKSI: Para petugas cuba mengeringkan balapan sebelum perlumbaan Grand Prix Singapura 2022 malam tadi. Perlumbaan F1 yang dijadual berlangsung pada 8 malam ditunda kira-kira sejam akibat hujan lebat. - Foto REUTERS -

DENGAN respons "sangat baik" daripada dunia terhadap Grand Prix (GP) Singapura Singapore Airlines, Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran berkata, Singapura kini "kembali di landasan tepat".

Ini setelah jumlah pengunjung bagi perlumbaan malam Formula Satu (F1) mencapai paras tertinggi.

Seramai 302,000 peminat menghadiri acara tiga hari itu tahun ini, mengatasi rekod 300,000 penonton yang dicatatkan semasa edisi pertama 2008.

Pada 2019 - iaitu edisi terakhir GP Singapura sebelum ia dibatalkan pada 2020 dan 2021 - seramai 268,000 peminat datang ke litar Marina Bay.

Semasa ditemui media tempatan di Bangunan Pit F1 petang semalam, Encik Iswaran berkata:

"Saya fikir rekod bilangan pengunjung tahun ini mencerminkan minat mendalam terhadap perlumbaan kita, keunikannya dan juga pelbagai elemen lain yang kami anjurkan di samping perlumbaan itu...Ia adalah petanda baik menunjukkan keadaan beransur pulih di Singapura."

Encik Iswaran menambah, bilangan penonton dalam GP Singapura kali ini adalah "campuran yang baik", yang mana 49 peratus daripadanya merangkumi peminat dari luar negara, manakala 51 peratus ialah warga tempatan.

Prestasi tempahan hotel sepanjang F1 tahun ini juga melebihi edisi 2018 dan 2019. Harga purata bilik hotel mencapai harga tertinggi dalam sejarahnya iaitu $440 semalam, kata Encik Iswaran.

Sejak penampilan sulungnya pada 2008, GP Singapura telah menjana lebih daripada $1.5 bilion dalam penerimaan pelancongan tambahan.

Sebanyak 25 acara MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran) juga dianjurkan sepanjang tempoh F1 tahun ini - iaitu jumlah yang sama sebelum Covid-19. Acara itu dihadiri 90,000 peserta, termasuk pegawai pemerintah, syarikat besar dan pemimpin industri.

"Itu adalah petunjuk yang sangat kuat, bukannya minat terhadap Formula Satu sahaja, tapi juga kepulangan kegiatan ekonomi di Singapura dan khususnya, acara MICE," kata Encik Iswaran.

Perlumbaan GP Singapura 2022 juga lebih inklusif dengan penayangan perlumbaan F1 di serata negara selama enam minggu, dan lawatan trak GP Singapura ke estet kejiranan yang dipasang dengan simulator perlumbaan untuk memberi pengunjung pengalaman F1 mereka sendiri.

GP Singapura akan kekal dalam kalendar F1 sehingga 2028.

  1. Nota Editor: Disebabkan jadual percetakan, laporan penuh Grand Prix Singapura 2022 boleh dibaca di laman BeritaHarian.sg
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg