Cuaca yang tidak menentu, silih berganti antara hujan dan panas terik, tidak mematahkan semangat peminat untuk menyaksikan skuad Singa menguji keupayaan mereka menentang pasukan gergasi bola sepak dunia.

Bagi sesetengah penyokong, pengalaman menyaksikan perlawanan antarabangsa itu bermula jauh lebih awal – lebih tiga jam sebelum wisel permulaan ditiup.

Meskipun suasana pada awalnya agak lengang berikutan kehadiran penyokong yang masih beransur-ansur tiba, keadaan di zon peminat mula menjadi semakin meriah dan sesak apabila waktu sepak mula semakin hampir.

Zon peminat yang disediakan bersempena dengan Cabaran Mizuho Blue – Siri Bola Sepak Kallang Singapura menjadi antara tarikan utama, dengan pelbagai aktiviti, barangan eksklusif, serta pameran sejarah bola sepak Singapura yang menawarkan hiburan buat pengunjung daripada pelbagai lapisan umur.

Bagi Fazlur Rahman Kamsani, yang hadir di zon peminat awal bersama isterinya, Su’ad Ahmad, inisiatif tersebut bukan sahaja menyemarakkan lagi keterujaan menjelang perlawanan, malah memberi peluang kepada peminat untuk menelusuri semula perjalanan bola sepak negara.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mencetak namanya sendiri pada jersi Singa, di samping mengunjungi reruai yang mempamerkan sejarah bola sepak tempatan.

“Apa yang saya dapat katakan sebagai seorang peminat bola sepak, ini adalah satu penganjuran yang baik sekali dengan adanya zon peminat macam ini,” katanya.

Sebagai peminat setia Nottingham Forest sejak 1978, beliau tidak sabar untuk menyaksikan pemain pertahanan Forest dan Brazil, Jair Cunha, secara langsung.

Muhammad Rizal Abdul Wahid (kiri) bersama isterinya, Nordiana Muhammad Jaafar, serta anak-anak mereka – Nur Alya Nabilah, Aafiyah, Afifah dan Muhammad Afif – tidak melepaskan peluang merasai kemeriahan zon peminat sebelum perlawanan bermula.
Muhammad Rizal Abdul Wahid (kiri) bersama isterinya, Nordiana Muhammad Jaafar, serta anak-anak mereka – Nur Alya Nabilah, Aafiyah, Afifah dan Muhammad Afif – tidak melepaskan peluang merasai kemeriahan zon peminat sebelum perlawanan bermula. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Bagi seorang lagi pengunjung yang hadir bersama keluarganya, Muhammad Rizal Abdul Wahid, kunjungan ke zon peminat menjadi sebahagian daripada pengalaman membawa anak menikmati suasana bola sepak antarabangsa.

Beliau berkata peluang menyaksikan perlawanan bertaraf antarabangsa seperti itu bukan sesuatu yang sering berlaku di Singapura, sekali gus menjadikan kunjungan tersebut lebih istimewa.

“Kami sangat teruja. Kita memang menantikan perlawanan seperti ini. Bukan selalu kita dapat tengok pasukan antarabangsa tahap seperti ini,” katanya.

Anaknya turut menantikan peluang melihat bintang Brazil, Vinicius Junior, secara dekat selepas mengikuti pasukan itu semasa aksi Piala Dunia.

Selain menonton perlawanan, keluarga itu tiba lebih awal untuk meneroka kegiatan yang disediakan.

Suhairi Ali (kanan) meluangkan masa mencuba cabaran menimbang bola bersama anak lelakinya, Wathieq El Weijdaniey, di zon peminat sebelum menyaksikan aksi skuad Singa.
Suhairi Ali (kanan) meluangkan masa mencuba cabaran menimbang bola bersama anak lelakinya, Wathieq El Weijdaniey, di zon peminat sebelum menyaksikan aksi skuad Singa. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Sementara itu, bagi Suhairi Ali, yang hadir bersama anak lelakinya, Wathieq El Weijdaniey, kemeriahan perlawanan antarabangsa tidak mengalihkan perhatian mereka daripada pasukan sendiri.

Beliau turut memuji kegiatan yang disediakan di zon peminat, termasuk pilihan makanan dan barangan eksklusif. Walaupun mengakui harga cenderamata agak mahal, semangat menyokong bola sepak tempatan membuatkannya tetap berbaloi.

Apabila ditanya pemain yang paling ingin dilihat sepanjang acara itu, anaknya pantas menjawab, Ilhan Fandi.

Suhairi turut mengulangi pilihan anaknya itu, mencerminkan sokongan mereka terhadap pemain tempatan di tengah-tengah kehadiran nama-nama besar bola sepak dunia.

Bukan sahaja penyokong tempatan, malah peminat antarabangsa termasuk pelajar dari Jepun turut turun padang memeriahkan suasana di zon peminat sambil memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.
Bukan sahaja penyokong tempatan, malah peminat antarabangsa termasuk pelajar dari Jepun turut turun padang memeriahkan suasana di zon peminat sambil memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Malah, bukan sahaja penyokong tempatan yang dapat menikmati suasana di zon peminat itu.

Selain penyokong Singa, sekumpulan pelajar berusia 19 tahun dari Akademi Sukan Riseisha, Jepun, turut turun padang untuk merasai sendiri kemeriahan acara tersebut.

Kumpulan pelajar itu jelas cukup gembira berada di sana, dengan beberapa daripada mereka mesra nyatakan “I love Singapore!”

Sokongan padu mereka terhadap pasukan kebangsaan turut jelas kedengaran menerusi laungan sorakan “Vamos Nippon!” – gabungan perkataan Sepanyol vamos (ayuh) dan Nippon (nama Jepun dalam bahasa ibundanya) yang menjadi laungan semangat ikonik buat skuad Samurai Biru.