BRIGHTON (ENGLAND): Pengurus Brighton, Graham Potter, mempersoalkan berapa lama "bola sepak boleh diteruskan" selepas mendedahkan bahawa kelab bergelar The Seagulls itu - yang dilanda beberapa kes Covid-19 - ingin tangguhkan perlawanan bersama Wolves itu.
Brighton bagaimanapun kalah 0-1 di tangan Wolves - keputusan yang bermakna mereka gagal memenangi 12 perlawanan terakhirnya.
"Ya, kami bertanya soalan itu atas situasi kami.
"Tapi begitulah... apa yang boleh dilakukan adalah mengemukakan kes anda, bercakap dengan orang tertentu (tetapi) mereka yang membuat keputusan," kata beliau.
Potter berkata Brighton mempunyai "tiga atau empat" kes positif Covid-19 dan tidak mempunyai tujuh pemain, termasuk penjaring terbanyak Neal Maupay dan pemain tengah Pascal Gross manakala bangku simpanannya termasuk tiga pemain muda berusia bawah 23 tahun.
Pemain pertahanan Joel Veltman juga tidak dapat beraksi selepas dikeluar 11 minit sebelum wisel penamat kerana dilanda kecederaan.
Kapten Lewis Dunk (lutut) dan Adam Webster (betis) juga dijangka tidak dapat bermain bagi tempoh masa terdekat.
"Saya rasa perjalanan yang kami lalui, saya tidak pasti berapa lama kita boleh kekalkan. Kami semua mahu bola sepak diteruskan, mahu kehidupan diteruskan sebaik mungkin tetapi kesihatan adalah perkara yang paling penting.
"Kami sendiri mempunyai beberapa isu dan minggu ini agak membimbangkan dari segi jangkitan yang cepat merebak.
"Jika ia berterusan, kami perlu memikirkan secara serius (mengenai keputusan untuk menangguhkan perlawanan)," tambah Potter.
Perlawanan Burnley menentang Watford, yang dijadualkan kelmarin, ditangguhkan dua setengah jam sebelum permulaan perlawanan selepas wabak Covid-19 dikesan di kalangan pasukan pelawat.
Pertarungan Brentford dengan Manchester United juga ditangguhkan Selasa lalu, juga disebabkan Covid-19 dengan sebuah lagi pasukan - Tottenham Hotspur - turut dilaporkan dilanda kes jangkitan Covid-19. - Agensi berita.