Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengurus Chelsea, Leicester dipecat

Graham Potter disingkir Chelsea tujuh bulan lepas dilantik; Brendan Rodgers dibuang lepas tujuh kekalahan berturut-turut
Apr 4, 2023 | 5:30 AM
TIDAK BERBALOI: Chelsea dilapor mendapatkan pengurus Graham Potter dengan membayar £21.5 juta kepada Brighton, namun jumlah itu dianggap tidak setanding nasib kelab tersebut. - Foto REUTERS
TIDAK BERBALOI: Chelsea dilapor mendapatkan pengurus Graham Potter dengan membayar £21.5 juta kepada Brighton, namun jumlah itu dianggap tidak setanding nasib kelab tersebut. - Foto REUTERS -

LONDON: Jurulatih Chelsea, Graham Potter, dipecat pada Ahad - hanya tujuh bulan selepas menggalas tugas itu.

Pemecatan Potter itu menyusuli satu lagi pemecatan pengurus nama besar, iaitu Brendan Rodgers yang dibuang Leicester City selepas empat tahun di kelab itu.

Pemecatan kededua pengurus itu mungkin boleh dijangka.

Chelsea, yang bergelar The Blues, jatuh ke tangga ke-11 Liga Perdana England (EPL) lepas kalah 2-0 di padang sendiri kepada Aston Villa pada Sabtu, meskipun membelanjakan lebih £500 juta ($821 juta) untuk mendapatkan pemain baru musim ini.

Bekas pemain pertahanan Brighton, Bruno Saltor, telah dilantik selaku ketua jurulatih sementara.

Chelsea hanya memenangi tiga daripada 11 perlawanan terakhir mereka tetapi telah mara ke suku akhir Liga Juara-Juara di mana mereka akan berdepan juara musim lalu, Real Madrid, bagi perlawanan pertama kurang 10 hari dari sekarang.

Perlawanan itu mungkin menjadi faktor penentu pemilik baru Chelsea membuat keputusan memecat Potter.

"Kami mempunyai tahap hormat yang tinggi terhadap Graham sebagai seorang jurulatih dan sebagai insan biasa. Beliau sentiasa bersikap profesional dan berwibawa dan kami kecewa mengenai keputusan yang diambil ini," kata pemilik bersama Todd Boehly dan Behdad Eghbali dalam satu kenyataan.

"Kami mempunyai baki 10 perlawanan EPL dan satu perlawanan suku akhir menjelang. Kami berusaha sedaya upaya dan memberi komitmen kepada setiap satu perlawanan itu agar kami dapat mengakhiri musim ini dengan berjaya."

Kemungkinan Chelsea mendapat laluan ke Liga Europa dan kemudian Liga Juara-Juara pada musim akan datang sukar dicapai memandangkan kini mereka 12 mata di belakang empat pasukan teratas dalam EPL.

Potter pengurus kedua dipecat konsortium pimpinan pemilik bersama pasukan besbol Amerika Syarikat LA Dodgers, Boehly, serta firma ekuiti privet Clearlake Capital, dalam musim pertama pengurusan mereka. Thomas Tuchel, yang menjadi pengurus Bayern Munich minggu lalu, dipecat pada September, hanya lebih setahun lepas memimpin Chelsea menjulang Liga Juara-Juara.

Dalam pada itu Rodgers dipecat Leicester selepas kelab itu jatuh ke kawasan 'bahaya' dalam liga, menyusuli rantaian tujuh perlawanan tanpa kemenangan.

Rodgers, 50 tahun, diikat kontrak dengan kelab itu hingga 2025. Beliau memimpin Leicester memenangi Piala FA pada 2021.

Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan pengerusi kelab, Aiyawatt Srivaddhanaprabha, yang berkata selepas pemecatan itu bahawa tempat Rodgers dalam sejarah Leicester terjamin.

Namun, satu demi satu keputusan mengecewakan bagi Leicester dikatakan memaksa Srivaddhanaprabha memecat Rodgers. - Agensi berita.

PENGURUS KELAB EPL DIPECAT MUSIM INI

Seramai 12 pengurus kelab Liga Perdana England (EPL) dipecat sejauh ini dalam musim ini - satu jumlah rekod. Jumlah paling ramai sebelum ini ialah 10, yang berlaku dalam empat musim berasingan. Berikut pengurus yang hilang pekerjaan musim ini:

- SCOTT PARKER (Bournemouth)

Dipecat 30 Ogos selepas dibelasah 9 - 0 oleh Liverpool.

- THOMAS TUCHEL (Chelsea)

Dipecat 7 September, sehari lepas kalah 0 -1 kepada Dinamo Zagreb dalam Liga Juara-Juara.

- BRUNO LAGE (Wolverhampton Wanderers)

Hilang pekerjaan 2 Oktober sedang kelab itu menduduki tangga ke-18 liga.

- STEVEN GERRARD (Aston Villa)

Dipecat 20 Oktober selepas tewas 0 - 3 kepada Fulham.

- RALPH HASENHUETTL (Southampton)

Dipecat 7 November setelah enam kekalahan dalam sembilan perlawanan.

- FRANK LAMPARD (Everton)

Meninggalkan Goodison Park 23 Januari sedang kelab itu berada dalam zon penyingkiran.

- JESSE MARSCH (Leeds United)

Dipecat 6 Februari selepas hanya setahun di Elland Road.

- NATHAN JONES (Southampton)

Dipecat 12 Februari selepas hanya satu kemenangan dalam tiga bulan.

- PATRICK VIEIRA (Crystal Palace)

Hilang kerja 17 Mac selepas 12 perlawanan tanpa kemenangan.

- ANTONIO CONTE (Tottenham Hotspur)

Dipecat 26 Mac selepas mengkritik skuadnya secara terbuka, walaupun mereka kekal di tangga keempat.

- BRENDAN RODGERS (Leicester City)

Dipecat 2 April, sehari selepas pasukannya jatuh ke dalam zon penyingkiran.

- GRAHAM POTTER (Chelsea)

Dipecat 2 April apabila pasukannya turun ke tangga ke-11.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg