LONDON: Penonton yang ingin menyaksikan perlawanan Kejohanan Eropah (Euro) 2020 di Stadium Wembley harus menunjukkan bukti mereka telah mendapatkan vaksinasi atau hasil ujian Covid-19 yang negatif sebelum dibenarkan memasuki stadium.
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) berkata pemegang tiket yang berpangkalan di Britain dan berusia 11 tahun dan ke atas boleh menunjukkan bukti telah mendapatkan vaksinasi penuh, dengan kededua dos diterima sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh perlawanan yang dituju.
Mereka yang belum divaksin sepenuhnya harus menunjukkan bukti hasil ujian negatif yang diambil 48 jam sebelum tarikh perlawanan.
England bertemu Croatia dalam perlawanan pembukaan pada Ahad ini.
Pemegang tiket bagi perlawanan di Hamden Park tidak perlu menunjukkan bukti vaksinasi atau hasil ujian Covid-19 yang negatif.
Penonton yang tinggal di England dan ingin menyaksikan perlawanan di Wembley boleh menunjukkan status vaksinasi menerusi aplikasi (APP) Khidmat Kesihatan Nasional (NHS).
Uefa berkata keutamaan pertubuhan itu adalah untuk mengadakan pertandingan yang selamat dan ia sedang bekerjasama dengan pemerintah serta pihak berkuasa setempat untuk memastikan langkah keselamatan dipatuhi mengikut panduan kesihatan awam yang dikenakan negara hos.
Wembley dan Hampden Park adalah antara 11 tempat di serata Eropah yang akan menjadi hos kepada perlawanan Euro 2020.
Stadium-stadium lain terletak di Rome, Munich, Baku, St Petersburg, Budapest, Seville, Bucharest, Amsterdam dan Copenhagen.
Wembley dijangka membenar masuk maksimum 22,500 penonton - 25 peratus kapasitinya - bagi tiga perlawanan England dalam Kumpulan D, menentang Croatia, Scotland dan Republik Czech/
Stadium itu juga dijadual menjadi hos bagi perlawanan kalah mati pertama, selain separuh akhir dan final. - Agensi berita.