Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penting bagi Singa Muda mula dengan rentak kemenangan: Zaiful

Skuad muda SG buka acara bola sepak dengan pertemuan dengan Laos
May 7, 2022 | 5:30 AM
PERSIAPAN SEBELUM TURUN PADANG: Zaiful (tengah) berlatih dengan rakan sepasukan di Pusat Sukan Nam Dinh semalam menjelang perlawanan pembukaan Singa Muda menentang Laos hari ini. - Foto BH oleh ZULAIQAH ABDUL RAHIM
PERSIAPAN SEBELUM TURUN PADANG: Zaiful (tengah) berlatih dengan rakan sepasukan di Pusat Sukan Nam Dinh semalam menjelang perlawanan pembukaan Singa Muda menentang Laos hari ini. - Foto BH oleh ZULAIQAH ABDUL RAHIM -

KEMENANGAN ke atas Laos dalam perlawanan pembukaan Singa Muda di Sukan SEA hari ini adalah penting, kata kapten Zaiful Nizam, dengan tiga mata penuh mampu memberi rangsangan kepada rentak prestasi pasukan di temasya Vietnam.

Malah, Zaiful, 34 tahun, menambah kerjasama antara pemain muda dan yang lebih berpengalaman akan menjadi kunci untuk skuad Singapura kendalian Nazri Nasri mencapai sasaran mereka layak ke separuh akhir.

Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan masing-masing bakal mara ke separuh akhir.

Pencapaian terbaik Singapura di temasya sukan dwitahunan Asia Tenggara ini adalah pingat perak yang dimenangi tiga kali - 1983, 1985 dan 1989.

Pasukan negara memenangi pingat gangsa dalam tiga daripada empat temasya Sukan SEA antara 2007 dan 2013, tetapi seterusnya terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi berturut-turut.

Zaiful, yang mengambil alih kain lilit lengan kapten daripada Jacob Mahler yang terlepas ke Sukan SEA akibat kecederaan serius pada lututnya beberapa minggu lalu, memberitahu Berita Harian (BH):

"Ia sangat penting untuk kami memasuki perlawanan pertama dengan matlamat untuk meraih kemenangan.

"Sekiranya kami menang, ia akan menaikkan semangat kami dan menetapkan rentak yang baik untuk baki perlawanan seterusnya... kami akan mengambil setiap perlawanan satu demi satu."

Zaiful, penjaga gol Geylang International, ialah antara tiga pemain berusia lebih 23 tahun yang disertakan dalam skuad Sukan SEA Singapura kali ini.

Selain beliau, pemain midfield Hougang United, Zulfahmi Arifin, dan pemain pertahanan Young Lions, Syahrul Sazali, turut mendapat panggilan Nazri untuk membantu perjuangan negara di Vietnam.

Zaiful dan Zulfahmi pernah mewakili Singapura di peringkat senior nasional, sementara Syahrul beraksi untuk Singa Muda di Sukan SEA 2019.

Zaiful, yang sudah tiga kali tampil untuk pasukan senior nasional, berkata:

"Saya ingin pemain muda dalam pasukan rasa yakin dan menggalak mereka untuk memberikan segala-galanya di padang. Sebagai pemain senior, saya mahu kami bekerjasama untuk mencapai sasaran yang ditetapkan."

Walaupun sudah 16 tahun bergelar pemain bola sepak profesional, penampilan Zaiful di Sukan SEA Hanoi adalah yang sulung buatnya.

"Ini mungkin kali pertama saya ke Sukan SEA tapi saya tahu betapa pentingnya pertandingan ini... di Piala (AFF) Suzuki (pada tahun lalu), pasukan senior nasional berjaya ke separuh akhir. Saya berharap yang sama dapat dicapai skuad bawah 23 tahun ini dan kami tidak pulang dengan tangan kosong," tambahnya.

Pada edisi Sukan SEA lalu di Filipina pada 2019, pasukan Singapura yang dipimpin Fandi Ahmad gagal melepasi pusingan kumpulan dan hanya mampu menduduki tempat keempat daripada enam pasukan.

Di edisi Hanoi ini, Singapura diundi dalam Kumpulan B dan selanjutnya akan bertemu Thailand (9 Mei), Kemboja (11 Mei) dan Malaysia (14 Mei).

JADUAL PERLAWANAN SINGA MUDA

Hari ini: Singapura lwn Laos

Isnin, 9 Mei: Thailand lwn Singapura

Rabu, 11Mei: Kemboja lwn Singapura

Sabtu, 14 Mei:Singapura lwn Malaysia

*Semua perlawanan berlangsung di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, Vietnam. Perlawanan dapat ditonton secara langsung di saluran meWATCH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg