LONDON: Pemain bola sepak England Tammy Abraham telah berpindah daripada Chelsea ke Roma di Italy pada bayaran £34 juta ($63 juta).
Abraham, penjaring gol terbanyak di Chelsea musim lalu, menyertai bekas pengurus Chelsea Jose Mourinho di Roma dan menandatangani kontrak lima tahun.
Difaham bahawa perjanjian antara Chelsea dan Roma itu mempunyai syarat membolehkan kelab berpangkalan di London itu membeli semula pemain berusia 23 tahun itu pada bayaran £68 juta.
"Anda tahu apabila sebuah kelab benar-benar mahukan anda... dan Roma adalah kelab yang benar-benar mahukan khidmat saya," kata Abraham, yang membantu Chelsea memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.
"Roma sebuah kelab yang layak berjuang bagi kejuaraan dan trofi... saya telah mengalami nikmat memenangi trofi utama dan sekarang saya mahu merasai nikmat itu lagi bersama Roma.
"Saya juga berasa amat dihormati kerana diberi jersi nombor sembilan di kelab ini dan saya tidak sabar untuk membantu pasukan ini."
Abraham, yang pernah dipinjamkan ke Bristol City, Swansea City dan Aston Villa, pergi ke Italy Ahad lalu untuk menjalani pemeriksaan doktor, sejurus selepas dua kelab itu mencapai persetujuan mengenai masa depan beliau.
Awal sebelum ini, Chelsea membeli Romelu Lukaku, bekas pemainnya, dari Inter Milan, pada bayaran £97.5 juta. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg