Penyokong pasukan Singa dikejutkan dengan pengumuman oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bahawa ia akan menyediakan pengangkutan percuma dari Stadium Jalan Besar ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia.
Pihak FAS mengumumkan pengumuman ini pada malam 17 Disember lalu, selepas perlawanan antara pasukan Singapura dan pasukan Thailand.
Sekitar 300 penyokong telah mendaftar untuk menaiki bas percuma itu, dan sembilan bas telah disediakan oleh pihak FAS.
Berkumpul di Stadium Jalan Besar, ramai penyokong membawa keluarga dan rakan-rakan mereka bersama untuk ke Kuala Lumpur menyaksikan perlawanan sengit itu.
Antaranya ialah penyokong pasukan Singa, Encik Abdul Hamid bersama rakan-rakannya, yang mengikuti bas percuma itu.
Empat sekawan itu, yang telah lama menyokong pasukan Singapura sejak 1990-an, gembira atas inisiatif FAS itu bagi menggalakkan lebih ramai penyokong ke perlawanan itu.
Encik Abdul Hamid berkata beliau akur bahawa pasukan Harimau Malaya kuat. Namun beliau mahu memberi sokongan dan apa pun keputusan perlawanan itu kelak, memori yang dicipta bersama rakan-rakannya amat berharga.
Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu merupakan penentu sama ada Malaysia atau Singapura akan menyertai Thailand ke peringkat separuh akhir.
Ramai penyokong menyatakan inisiatif bas percuma itu mendorong mereka untuk membeli tiket dan menyokong pasukan Singa.
Seperti Encik Fahmi Anuar dan keluarganya, mereka menyatakan bahawa selepas pengumuman oleh FAS mengenai bas percuma itu, mereka sekeluarga mengambil kesempatan untuk mengukir memori bersama.
Ini merupakan kali pertama Encik Fahmi membawa keluarganya bersama ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Menyertai beliau ialah isterinya dan empat anak berumur antara dua dengan 11 tahun.
Dalam pada itu, pada malam 19 Disember, ramai penyokong meluahkan rasa bimbang mengenai isu teknikal berhubung e-mel pengesahan.
E-mel pengesahan, yang sepatutnya dihantar pada 6 petang, 19 Disember 2024, tidak diterima oleh beberapa penyokong yang telah mendaftar untuk bas ke Kuala Lumpur itu.
Encik Mohammad Muhaimin Abdul Rahman merupakan antara penyokong yang menghadapi isu teknikal itu. Beliau bimbang sekiranya pendaftarannya sekeluarga tidak berjaya.
Namun, pihak FAS telah mengendalikan isu itu dengan baik. Encik Muhaimin berkata beliau menghubungi FAS dan mendapat penjelasan bahawa terdapat isu teknikal yang mengakibatkan mereka terlepas daripada menerima e-mel tersebut. E-mel pengesahan itu dihantar semula kemudian.
Pihak FAS memberitahu Berita Harian bahawa terdapat penyokong yang tiba ke Stadium Jalan Besar tanpa e-emel pengesahan, namun pihak FAS telah menyelesaikan isu itu di Stadium Jalan Besar dan tiada peminat yang hadir ditolak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg