Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SILAT

Peraturan baru jadikan silat lebih menarik, adil dan moden

Langkah perkenal teknik, sistem pemarkahan buka peluang adil bagi semua atlet, negara menangi pertandingan
Mar 08, 2021 | 05:30 AM



BADAN penguasa Persekutuan Silat Antarabangsa (Persilat) telah memperkenalkan beberapa teknik dan peraturan baru untuk menjadikan sukan silat lebih menarik, adil dan moden, selari dengan perkembangan teknologi.



Teknik dan peraturan baru itu, yang dibincang dalam kalangan empat negara pendukung utama silat - Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei - pada Oktober 2019 ketika republik ini mengadakan 'Kursus Peningkatan Pengadil Pencak Silat Antarabangsa, akan dikuatkuasakan dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-19 Di Sarawak, Malaysia, pada Ogos ini.



Peraturan dan teknik baru itu bertujuan menjadikan pertandingan silat lebih rancak bagi atlet, lebih adil dari segi sistem permarkahan dan lebih menarik untuk disaksikan penonton dan penaja.



Ini kali pertama sejak lapan tahun lalu perubahan dibuat pada peraturan pertandingan silat.



Memberikan pandangannya, ketua pegawai eksekutif Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, berkata permainan dalam pertandingan akan menjadi lebih rancak, menarik dan lebih penting adil bagi semua pihak.



"Permainan yang bakal diperlihatkan akan menjadi lebih pantas dan mendebarkan kerana atlet perlu tangkas melaksanakan teknik-teknik baru yang lebih menarik untuk memungut mata dan menjatuhkan lawan.



"Atlet juga dijangka lebih fokus dan cekap kerana perlu bertindak pantas ketika melakukan serangan," jelas beliau.



Sheik Alau'ddin, yang juga Presiden Persekutuan Pencak Silat Asia (Apsif), menambah bahawa peraturan baru yang diperkenalkan, termasuk penambahan bilangan juri dan penggunaan sistem permarkahan digital yang dibantu kamera dan video rakaman, bertujuan menjadikan proses membuat keputusan lebih adil bagi semua atlet dan negara.



"Dalam kategori tanding, misalnya, kalau sebelum ini sebanyak lima juri diperlukan, kini akan terdapat tiga juri. Mereka akan dibantu sistem pemarkahan digital dan kamera serta video rakaman.



"Dengan sistem ini, untuk mendapat markah bagi setiap teknik yang dilakukan, ia memerlukan dua juri yang mencatat markah. Sekiranya hanya seorang juri yang mencatat, markah itu tidak akan diambil kira.



"Bagi kategori seni, jika sebelumnya hanya lima juri yang mencatat markah, dalam peraturan baru kelak, sebanyak 10 juri diperlukan mengadili acara," terang beliau lagi.



Sistem penyingkiran yang digunakan untuk seni, tambah beliau, akan menjadi sistem kalah mati, yang menyaksikan pemenang terus ke tangga seterusnya hingga ke peringkat akhir, manakala pasukan yang gagal di separuh pusingan akan berkongsi gangsa.



"Kesemua ini diperkenalkan untuk menjadikan sistem pemberian markah dalam acara silat lebih adil bagi semua pihak, baik atlet mahupun pasukan atau negara," kata Sheik Alau'ddin.



Selain itu, menurut beliau, peraturan dan teknik-teknik baru itu perlu dibuat untuk menjadikan silat lebih moden, selari dengan arus semasa dan perkembangan teknologi.



"Dengan perkembangan teknologi digital yang luas, pencak silat harus bergerak sesuai dengan arus modernisasi dan teknik-teknik yang digunakan harus terkini untuk menjadikan pertandingan silat lebih terkini dan menarik.



"Diharapkan dengan pengenalan teknik-teknik dan peraturan baru ini, penonton dapat sama-sama merasakan debaran setiap atlet ketika mereka melakukan teknik-teknik baru yang akan kelihatan sedikit berbahaya jika tidak dilaksanakan dengan betul.



"Suntikan gerakan baru yang mendebarkan ini diharap dapat meningkatkan lagi kadar tontonan dan tajaan daripada pihak-pihak yang berminat menaja pertandingan dan kegiatan persilatan.



"Dan akhir sekali, adalah diharapkan semua ini dapat memartabatkan sukan Pencak Silat setara dengan sukan bela diri yang lain," tambah beliau.



Mengulas langkah memperkenalkan teknik dan peraturan baru itu, penolong kapten skuad pesilat Team Singapore, Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin, 24 tahun, berkata beliau ghairah melihat bagaimana atlet dan negara lain menyesuaikan diri dengannya.



"Saya menaruh harapan dapat melihat teknik-teknik yang baru dan berbeza," kata beliau, juara dunia kategori tanding Kelas 'I' (85 hingga 90 kilogram).



Juara dunia kategori seni wanita Nurzuhairah Mohd Yazid, 22 tahun, pula berkata:



"Bagi kategori seni, sistem penyingkiran akan menjadi lebih sukar kerana ia kini berbentuk kalah mati.



"Ia kini lebih sukar kerana atlet perlu memasuki gelanggang membuat lebih banyak persembahan, tidak seperti sebelum ini apabila kami hanya perlu membuat maksimum dua persembahan iaitu dalam separuh akhir dan final," terang Nurzuhairah, yang kini atlet sepenuh masa.



Beliau, bagaimanapun, belum dapat menyertai latihan kerana sedang berehat selepas menjalani pembedahan pada kaki kiri akibat mengalami kecederaan semasa menjalani latihan.



Diminta pandangannya sama ada peraturan baru itu akan memberi kelebihan kepadanya, juara dunia kategori tanding Kelas 'G' (75 hingga 80 kilogram), Muhammad Syakir Jeffry, 20 tahun berkata perubahan itu akan menjadikan silat lebih menarik kerana ramai atlet akan mencuba dan memperlihatkan banyak teknik baru.



"Mungkin akan terdapat juga risikonya tetapi itulah sebab kami perlu mempertingkatkan latihan untuk membuat persiapan menghadapinya.



"Yang pasti, perubahan ini memberi saya peluang membuat gerakan dan mempelajari teknik baru, yang walaupun ada risikonya, memberi saya lebih banyak pilihan menumbangkan atlet lawan," sambung Muhammad Syakir, pelajar PSB Academy.



Bagi Siti Khadijah Mohd Shahrem, 19 tahun, pemenang pingat gangsa Sukan Asia dan pemenang pingat emas Kejohanan Asia, perubahan yang dibuat ideal bagi semua negara yang mengambil bahagian.



"Ia membantu meluaskan minda mengenai pertandingan silat. Akan terdapat lebih banyak peluang bagi semua atlet dalam semua kategori pertandingan," ujar pelajar Politeknik Republic, yang bertekad bekerja keras membuat persiapan menghadapi pertandingan yang bakal diadakan.




GERAKAN BARU



- TEKNIK LOMPAT & SIKU



Pesilat biru memperoleh 1 mata.



Sebarang teknik yang menyasarkan leher tidak dibenarkan.



- Pelbagai teknik siku/menyiku dibenarkan tanpa menyentuh atau menarik lawan.



- Begitu juga teknik menggunakan lutut, seperti Jumping Knee, Knee Kick, sudah dibolehkan. Tetapi penyerang tidak dibenarkan menyentuh atau menarik lawan.



- Namun, menendang/menumbuk di bahagian leher ke atas, menarik dan menumbuk (Pull Vest dan Elbow Strike) tetap tidak dibenarkan.



- TEKNIK MENGHAMBUR



Atlet merah akan memperoleh 3 mata. Namun, jika atlet biru jatuh di atasnya, atlet merah tidak akan mendapat sebarang mata, tetapi 3 mata akan diberikan ke atlet biru untuk teknik jatuhan yang berjaya dilakukan.



- TEKNIK BERGULING + GUNTINGAN



Muhammad Syakir bersiap berdepan Sheik Ferdous sebelum menggulingkan badan dengan pantas dan membuat gerakan guntingan, sekali gus menumbangkan lawannya. Muhammad Syakir memperoleh 3 mata.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >