USIA muda bukan penghalang.
Dua pemain muda bola sepak wanita negara Nur Umairah Mohd Hamdan, 19 tahun, dan Khairunnisa Khairol Anwar, 18 tahun, bertekad membawa impak ke dalam pasukan nasional ketika Singapura memburu kelayakan bagi Piala Asia Wanita 2022 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), mulai Jumaat ini.
Singapura - yang menghuni ranking ke-130 dunia - akan berdepan Indonesia - pasukan nombor ke-96 dunia - dalam dua perlawanan di Dushanbe, Tajikistan, yang akan menentukan pasukan mana berjaya mara ke kejohanan utama.
Pemain bek tengah Umairah dan pemain bek kanan Khairunnisa merupakan antara 23 pemain terpilih menyertai skuad Singapura untuk kelayakan itu.
Kedua-dua remaja ini turut membentuk generasi seterusnya pemain bola sepak wanita di sini.
Umairah, yang sudah memiliki 10 penampilan senior untuk negara, rasa ghairah dapat kembali berlatih dan bersaing di peringkat antarabangsa setelah hampir dua tahun tanpa pertandingan akibat pandemik Covid-19.
Beliau berharap pengalamannya sebelum ini beraksi dalam perlawanan antarabangsa - termasuk menentang Thailand, Myanmar dan Vietnam dan Indonesia - boleh membantu pasukan mencapai keputusan baik dalam perlawanan kelayakan kelak.
"(Apabila anda muda) anda takut untuk buat kesilapan di padang atau berdepan dengan pemain yang lebih besar daripada anda. Tapi, 10 penampilan senior ini beri saya lebih keyakinan dan ajar saya cara untuk hadapi tekanan," kata pelajar tahun ketiga jurusan teknologi bio perubatan di Politeknik Temasek (TP) itu.
Ketika ditemui Berita Harian di Stadium Jalan Besar Isnin lalu, Umairah dilihat mempunyai parut di dahinya.
Pemain kelab Lion City Sailors itu berkongsi bahawa beliau mengalami kecederaan itu ketika kepalanya bertembung dengan kepala rakan sepasukan semasa membuat tandukan dalam latihan dua bulan lalu.
Beliau perlu mendapatkan sembilan jahitan pada dahinya dan terlepas beraksi dalam latihan selama beberapa minggu.
Akur kecederaan itu menjejas prestasinya untuk dipilih dalam skuad nasional, Umairah namun bersyukur diberi peluang mewakili Singapura sekali lagi.
"Untuk kembali berlatih selepas tempoh rehat yang lama amat sukar, tapi saya tidak putus asa dan terus gigih berusaha," ujarnya.
Ditanya pula mengenai masa depan bola sepak wanita Singapura, Umairah berpendapat bahawa ia kini berada di laluan yang tepat.
"Sekarang, tahap bola sepak wanita di sini lebih baik dan semakin berkembang. Kami juga kini mendapat perhatian media.
"Saya harap masa depan bola sepak wanita akan kekal cerah dan terus dipertingkatkan, dan kami punya pendedahan dan peluang yang sama seperti pasukan lelaki."
Daripada skuad pemain pilihan jurulatih pasukan nasional bola sepak wanita Singapura Stephen Ng, seramai 10 pemain berusia bawah 21 tahun. Penyerang Danelle Tan, 16 tahun, merupakan pemain termuda pasukan.
Ng turut memanggil enam wajah baru dalam pasukan nasional, termasuk Khairunnisa.
Khairunnisa, yang telah beraksi dalam pasukan nasional bawah umur sejak usia 13 tahun, rasa terharu dipanggil dalam skuad senior.
"Ia adalah impian saya sejak kecil lagi untuk bermain untuk Singapura di peringkat senior. Saya mula sertai sistem bola sepak nasional pada usia agak muda, dan telah sertai pertandingan untuk pasukan nasional bawah 14 tahun (U-14).
"Jadi untuk lihat diri saya berkembang dan capai ke tahap ini, ia tentunya pengalaman yang luar biasa," kata Khairunnisa, juga pemain nasional U-19.
Peralihan berlatih dalam U-19 kepada pasukan senior juga bukan mudah, kata Khairunnisa. Bahkan menganggapnya satu "loncatan besar" .
"Saya ambil sedikit masa untuk sesuaikan diri pada intensiti latihan (nasional) tapi pemain senior banyak tunjuk ajar saya dan perbaiki persembahan saya," kongsi pelajar tahun kedua dalam jurusan bisnes di TP itu.
Pemain South Avenue SC itu berharap dapat membuat penampilan senior sulungnya dalam kelayakan kelak.
Dan jika tidak, beliau menambah: "Secara pasukan, kami harap dapat beri persembahan terbaik selepas menjalani latihan intensif, dan mudah-mudahan mampu perbaiki landskap bola sepak wanita di Singapura, supaya ada lebih kesedaran dan penghargaan."
"Ia adalah impian saya sejak kecil lagi untuk bermain untuk Singapura di peringkat senior. Saya mula sertai sistem bola sepak nasional pada usia agak muda, dan telah sertai pertandingan untuk pasukan nasional bawah 14 tahun. "Jadi untuk lihat diri saya berkembang dan capai ke tahap ini, ia tentunya pengalaman yang luar biasa." - Khairunnisa, pemain bek kanan, pelajar tahun kedua dalam jurusan bisnes di Politeknik Temasek. (Foto WOMEN'S FOOTBALL IN SINGAPORE/FACEBOOK)
"Sekarang, tahap bola sepak wanita di sini lebih baik dan semakin berkembang. Kami juga kini mendapat perhatian media. "Saya harap masa depan bola sepak wanita akan kekal cerah dan terus dipertingkatkan, dan kami punya pendedahan dan peluang yang sama seperti pasukan lelaki." - Umairah, pemain bek tengah, pelajar tahun ketiga jurusan teknologi bio perubatan di Politeknik Temasek (Foto WOMEN'S FOOTBALL IN SINGAPORE/FACEBOOK)
KELAYAKAN PIALA ASIA WANITA AFC 2022:
SINGAPURA LAWAN INDONESIA
Tempat: Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan
Tarikh dan waktu: - 24 September, 9 malam (waktu Singapura) - 27 September, 9 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg