Pada waktu yang hampir sama pada 2024, perenang artistik Sepanyol, Iris Tio Casas, menitiskan air mata semasa menyaksikan penyanyi Celine Dion mendendangkan lagu Hymne A L’Amour pada majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris di kaca televisyen.
Pada 22 Julai, beliau sekali lagi tersentuh oleh melodi yang sama dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2025 (WCH 2025) di Singapura.
Dengan iringan lagu tersebut, yang kali ini didendangkan Edith Piaf, Tio mempamerkan persembahan memukau dalam acara solo bebas wanita di Arena WCH, dan mengalirkan air mata apabila kemenangannya disahkan.
Tio, 22 tahun, meraih 245.1913 mata untuk bangkit daripada kedudukan belakang dan menewaskan pilihan utama dari China, Xu Huiyan (241.0025 mata), untuk merangkul pingat emas.
Atlet Belarus, Vasilina Khandoshka (239.5437 mata), yang bertanding sebagai atlet neutral, menduduki tempat ketiga di podium.
Buat julung kalinya, Tio, yang sebelum ini meraih pingat gangsa dalam acara solo teknikal, dan bebas berpasukan, kini bergelar juara dunia solo, lapor The Straits Times (ST).
“Kejayaan ini amat bermakna kerana ini pingat emas pertama saya dalam acara solo pada kejohanan dunia, dan juga pingat pertama saya dalam acara solo bebas.
“Saya sangat gembira dan masih tidak percaya ia benar-benar berlaku,” kata Tio, yang turut meraih pingat gangsa berpasukan di Sukan Paris, serta pingat emas dalam acara teknikal berpasukan dalam Kejohanan Dunia Fukuoka 2023 di Jepun.
“Saya berasa sangat sebak kerana ibu bapa saya berada di tempat penonton. Ini benar-benar impian yang menjadi nyata,” tambahnya.
Tio, yang mara ke peringkat akhir, sebagai peserta ketiga terbaik, meningkatkan tahap kesukaran bagi rutin persembahannya berbanding pusingan awal - satu langkah yang turut diambil oleh Xu.
Beliau kemudian menunggu dengan penuh debaran untuk mengetahui sama ada usahanya mencukupi, dengan Khandoshka dan Xu membuat persembahan selepasnya.
Tio berkata: “Beliau (Xu) meningkatkan tahap kesukaran, dan Khandoshka juga menunjukkan tahap kesukaran yang baik. Jadi saya cuba memperbaiki (persembahan), dengan menambah (gerakan) antara pusingan awal dengan akhir - dan ia berhasil.
“Saya berharap dengan memberikan yang terbaik di dalam air, ia akan membawa hasil dan ganjaran.”
Kemenangan beliau turut mencipta sejarah buat Sepanyol, kerana ini merupakan gelaran solo wanita pertama negara itu dalam kejohanan dunia.
Di negara yang terkenal dengan sukan bola sepak, para perenang artistik Sepanyol kini membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing di pentas dunia.
Memenangi gelaran dunia dalam acara solo merupakan matlamat hidup Tio - satu impian yang dikatakannya menjadi nyata hasil usaha perintis sukan tersebut di Sepanyol, termasuk bekas juara dunia dan pemenang pingat Olimpik seperti perenang, Andrea Fuentes dan Ona Carbonell.
Fuentes, yang pulang ke Sepanyol selepas membimbing pasukan Amerika Syarikat meraih pingat perak dalam acara berpasukan di Sukan Paris, kini mengetuai kempen renang artistik negaranya dalam kejohanan dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg