Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Perenang gaya bebas Quah Ting Wen gagal layak ke separuh akhir

Jul 31, 2021 | 05:30 AM



TOKYO: Perenang Singapura Quah Ting Wen terlepas melayakkan diri ke separuh akhir gaya bebas 50 meter wanita ketika mencatat masa 26.16 saat dalam pusingan saringan di Pusat Akuatik Tokyo semalam.



Quah, 29 tahun, mengakhiri perlumbaan di tempat terakhir daripada lapan pesaing dalam Saringan 8, yang dimenangi Lidon Munoz Del Campo dari Sepanyol dalam masa 25.10 saat.



Secara keseluruhan, Quah mencatat kedudukan ke-40 daripada 81 pesaing.



Hanya 16 pesaing terbaik dengan masa yang terpantas akan mara ke separuh akhir.



Masa terbaik peribadi Quah dalam acara ini adalah 24.92 saat, yang dicatat di Piala Dunia Fina Tokyo pada 2019.



Quah, pada Rabu lalu, beraksi dalam saringan gaya bebas 100 meter namun gagal mencatat masa untuk menempah tempat di separuh akhir.



Quah bertanding di Tokyo menerusi tempat universaliti, sebagai atlet ranking tertinggi berdasarkan tangga mata badan pentadbir akuatik dunia, Fina.



Ini kerana Singapura tiada perenang wanita yang layak berdasarkan merit di temasya sukan Tokyo.



Keputusan malam semalam mengakhiri kempen ketiga-tiga atlet renang Singapura di Sukan Olimpik Tokyo.



Ini selepas Joseph Schooling terkandas di saringan gaya bebas 100 meter dan kupu-kupu 100 meter lelaki, sementara adik Quah, Zheng Wen gagal ke pusingan separuh akhir kuak lentang 100 meter, kupu-kupu 100 meter dan 200 meter lelaki.



Di edisi Sukan Olimpik sebelumnya, Rio 2016, Singapura meraih pingat emas dalam kupu-kupu 100 meter menerusi Schooling, dengan Zheng Wen berjaya ke separuh akhir kupu-kupu 100 meter dan 200 meter.



Dalam acara renang lain, Tatjana Schoenmaker menang kuak dada 200 meter wanita semalam dalam masa rekod dunia 2 min 18.95 saat untuk menghasilkan pingat emas pertama Afrika Selatan di Sukan Olimpik Tokyo sementara Emma McKeon menjuarai gaya bebas 100 meter wanita untuk meraih pingat emas keenam Australia dalam sukan renang.



Warga Russia Evgeny Rylov menang kuak lentang 200 meter lelaki untuk merangkul pingat emas keduanya minggu ini, manakala Wang Shun dari China meraih pingat emas dalam rampai individu 200 meter lelaki.



Schoenmaker, yang sudah menang pingat perak dalam kuak dada 100 meter Selasa lalu, mencatat masa 0.97 saat di depan warga Amerika Syarikat Lilly King, dengan Annie Lazor dari Amerika Syarikat di tempat ketiga.



Kemenangan Schoenmaker, 24 tahun, menandakan pingat emas kedua Afrika dalam sukan renang, selepas kejayaan warga Tunisia Ahmed Hafnaoui dalam gaya bebas 400 meter lelaki Ahad lalu.



King mendahului perlumbaan hingga di pusingan 150 meter sebelum Schoenmaker mengambil alih kedudukan di depan dan kemudian menghasilkan persembahan renang yang kuat dalam 50 meter terakhir untuk memecah rekod dunia dan merampas pingat emas.



Wang adalah juara Sukan Olimpik baru dalam rampai individu 200 meter lelaki sejak 2000 setelah pemenang empat kali Michael Phelps bersara.



Beliau mengakhiri perlumbaan dalam masa 1 minit 55.00 saat, mengalahkan warga Britain Duncan Scott (1:55.28) dan warga Switzerland Jeremy Desplanches (1:56.17).



McKeon berada di depan pada pusingan 50 meter dalam gaya bebas 100 meter dan berjaya menahan warga Hongkong Siobhan Haughey dalam jarak 50 meter terakhir untuk menang dengan 0.31 saat, dengan rakan senegara Cate Campbell membawa pulang pingat gangsa.



Juara dunia Rylov menang kuak lentang 200 meter dalam masa rekod Sukan Olimpik 1:53.27 saat, dengan pemenang pingat emas di Rio 2016 Ryan Murphy meraih pingat perak.



Rylov, yang sudah memenangi pingat emas dalam kuak lentang 100 meter di Tokyo, mendahului perlumbaan dari mula dan tidak kelihatan diancam, menang dengan margin yang selesa 0.88 saat.



Luke Greenbank dari Britain membawa pulang pingat gangsa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >