Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerenang Tedd Chan cipta rekod kebangsaan bawah 25 saat pada acara kelayakan Sukan Asia
Perenang Tedd Chan cipta rekod kebangsaan bawah 25 saat pada acara kelayakan Sukan Asia
Mara ke final acara 50 meter kuak lentang lelaki, tamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan masa 25.37 saat
Perenang Tedd Chan cipta rekod kebangsaan bawah 25 saat pada acara kelayakan Sukan Asia
TOKYO: Buat seketika selepas acara kelayakan 50 meter kuak lentang lelaki di Pusat Akuatik Tokyo pada 21 September, perenang Singapura, Tedd Chan, seperti tidak percaya apabila mendapat tahu beliau telah mencatatkan rekod kebangsaan 24.97 saat untuk melayakkan diri ke final pada penampilan sulung Sukan Asianya.
Pemuda berusia 16 tahun itu berkata: “Saya lihat masa itu, saya lihat 24 (saat), saya rasa, itu bukan nama saya, mustahil itu nama saya.
“Kemudian saya lihat semula, dan saya rasa, ya, itu memang nama saya.”
Kegembiraan dan rasa tidak percayanya dapat difahami kerana tiada warga Singapura yang pernah mencatatkan masa di bawah 25 saat dalam acara tersebut sebelum itu.
Sebelum perlumbaan itu, catatan terbaik Tedd sebelum ini adalah 25.52 saat yang dicapai pada Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) 2026.
Rekod kebangsaan lama sebelum ini iaitu 25.13 saat dipegang oleh Quah Zheng Wen pada Piala Dunia Fina di Moscow pada 2015.
Berenang dalam acara kelayakan terakhir, Tedd ditekan oleh Xu Jiayu dari China (24.64 saat), yang sudah pun memenangi acara 100 meter kuak lentang dengan rekod Sukan 51.98 saat pada 20 September, dan Yoon Ji-hwan dari Korea Selatan (24.74 saat).
Beliau menduduki tempat keempat secara keseluruhan dalam acara kelayakan itu, dengan seorang lagi peserta China, Wang Zicheng, mendahului acara Heat 2 dengan masa 24.80 saat.
Wakil Singapura yang seorang lagi, Julian Lee (26.51 saat), berada di tempat ketujuh dalam Heat 1 dan tamat dalam kedudukan ke-18 daripada 29 perenang secara keseluruhan.
Dalam final pada sebelah malam, Tedd menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan masa 25.37 saat, manakala Xu memenangi emas dengan masa 24.04 saat untuk satu lagi rekod Sukan Asia, dengan rakan senegaranya, Wang (24.49 saat), dan Yoon dari Korea Selatan (24.54 saat) melengkapkan podium.
Pelajar Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) (ACSI) itu berkata mengenai finalnya:
“Rancangan perlumbaan sudah ada; segala-galanya sebenarnya telah dilaksanakan dengan baik.
“Masanya hanya tersasar sedikit, tetapi saya cuma mahu berseronok, dan itu yang saya lakukan.
“Ia merupakan pengalaman yang hebat dan saya cukup gembira dengan keputusan itu.
“Dalam beberapa bulan kebelakangan, sukar untuk saya mengimbangi pelajaran dengan latihan, dan saya baru sahaja pulang daripada Kejohanan Renang Junior Pan Pacific di Canada pada Ogos.
“Saya menguruskannya dengan melakukan satu perkara pada satu masa, dan tidak tergesa-gesa.
“Saya telah mengasah teknik pecutan saya dan sudah hampir setahun berada sekitar tanda 25 saat, jadi rekod kebangsaan ini sebenarnya PB (personal best – catatan peribadi terbaik) yang besar dan saya amat bangga dengan diri saya.”
Remaja itu mula berenang pada usia empat tahun, mula bertanding pada usia tujuh tahun, dan menunjukkan potensi pecutannya apabila beliau memenangi emas bagi kuak lentang lelaki 50 meter (25.79 saat) dan perak bagi acara 50 meter gaya bebas (23.39 saat) pada Sukan Belia Asia 2025 di Bahrain.
Beliau turut menarik perhatian kerana nama penuhnya, Tedd Windsor Chan III, yang beliau jelaskan sebagai satu tradisi yang diwarisi daripada mendiang datuknya kepada bapanya, Junior, dan kemudian kepadanya, sebagai anak lelaki kedua.
Beliau menambah: “Datuk saya meninggal dunia pada 2025, dan saya masih ingat percubaan saya melayakkan diri ke Sukan SEA, dan kini saya melakukan perkara ini, untuknya.”