WASHINGTON: Laporan perisikan Amerika Syarikat baru-baru ini memberi amaran bahawa Iran tidak mungkin akan membuka Selat Hormuz dalam masa terdekat kerana cengkaman ke atas bekalan minyak dunia mempunyai pengaruh besar ke atas Amerika, menurut tiga sumber yang biasa dengan perkara itu.

Teheran boleh terus menyekat selat itu untuk mengekalkan harga tenaga yang tinggi sebagai cara untuk menekan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, supaya segera mencari jalan keluar daripada perang hampir lima minggu yang tidak popular dalam kalangan pengundi Amerika itu.

Laporan itu juga memberikan petunjuk terkini bahawa perang itu, yang bertujuan untuk melumpuhkan tentera Iran, sebenarnya boleh meningkatkan pengaruh serantaunya dengan menunjukkan keupayaan Teheran mengancam laluan air utama itu.

Encik Trump telah berusaha untuk meremehkan kesukaran membuka semula Selat Hormuz, yang membawa seperlima daripada bekalan minyak dunia.

Pada 3 April, Encik Trump seolah-olah mencadangkan bahawa beliau boleh mengarahkan tentera Amerika membuka semula laluan itu.

“Dengan sedikit masa lagi, kita boleh membuka Selat Hormuz, mengambil minyak dan menjana kekayaan dengan mudah,” tulisnya dalam platform Truth Social beliau.

Namun, penganalisis mengingatkan bahawa cubaan menggunakan kekerasan terhadap Iran, boleh mengakibatkan kerugian dan menjerumuskan Amerika ke dalam kancah perang darat yang berlarutan.

“Dalam usaha untuk cuba menghalang Iran daripada membangunkan senjata pemusnah besar-besaran, Amerika sebenarnya telah menyerahkan senjata gangguan besar-besaran kepada Iran,” kata Encik Ali Vaez, pengarah projek Iran di Kumpulan Krisis Antarabangsa, sebuah organisasi pencegahan konflik.

Teheran, kata Encik Vaez, memahami keupayaannya untuk memacu pasaran tenaga dunia melalui cengkaman di selat itu dan ia “adalah jauh lebih kuat daripada senjata nuklear”.

Pendirian Encik Trump mengenai potensi penglibatan Amerika dalam membuka semula selat itu telah berubah.

Di satu pihak, beliau telah menjadikan penamatan cengkaman Iran sebagai prasyarat gencatan senjata, tetapi kemudian menyeru negara yang bergantung kepada minyak Teluk dan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) supaya menerajui pembukaan semula selat tersebut.

Seorang pegawai Rumah Putih, yang meminta namanya dirahsiakan, berkata Encik Trump “yakin bahawa selat itu akan dibuka tidak lama lagi” dan Iran tidak akan dibenarkan mengawal Selat Hormuz selepas perang.

Agensi Risik Pusat (CIA) tidak segera memberi respons kepada permintaan untuk mendapatkan komen.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran telah menggunakan pelbagai taktik untuk menjadikan transit komersial melalui laluan air itu terlalu berbahaya atau tidak boleh mendapatkan perlindungan insurans sejak perang meletus pada 28 Februari.

Kenaikan kos tenaga berisiko meningkatkan inflasi di Amerika, menimbulkan liabiliti politik bagi Encik Trump dan Parti Republikannya yang bersiap sedia untuk pilihan raya kongres pertengahan penggal pada November. – Reuters.