
MENANDATANGANI kontrak bersama Liverpool menjadi langkah terbaru dalam perjalanan luar biasa penyerang Colombia Luiz Diaz.
Diaz sangat kecil dulu hingga membuat jurulatihnya bimbang beliau mengalami kekurangan zat makanan.
Beliau berpengalaman menjalani kehidupan di Eropah selepas tiga tahun bersama Porto. Namun pada usia 18 tahun, Diaz tidak pernah meninggalkan negaranya, meskipun dibesarkan dekat sempadan dengan Venezuela.
Pengalaman pertamanya mengembara ke luar negara datang pada pertengahan 2015, apabila pemain sayap itu diundang mewakili negaranya dalam Piala Amerika Masyarakat Orang Asli.
Sebagai anggota Wayuu, masyarakat orang asli terbesar di Colombia, beliau mengagumkan legenda tempatan Carlos Valderrama.
"Pertandingan itu diadakan di Chile, jadi kami mengambil penerbangan selama lima jam ke sana dan anda boleh lihat matanya bersinar dengan pengalaman itu.
"Lucho (Luis) bertanya kepada kami apakah dia boleh makan lebih daripada sekali. Dia begitu rendah hati," kata bekas pemain antarabangsa Colombia John 'Pocillo' Diaz, jurulatih pada waktu itu.
Sifat rendah hati itu tidak berubah, tetapi satu perkara menjadi pasti - Diaz telah melakukan banyak perjalanan lain sejak itu. Dan kini beliau akan pergi ke Liverpool, yang membelinya pada bayaran awal £37.5 juta ($68.2 juta).
Diaz menunjukkan prestasi cemerlang semasa Copa America musim panas lalu, menjaringkan gol ketika menentang Brazil dan Argentina dan menjadi penjaring terbanyak bersama Lionel Messi.
Beliau meneruskan prestasi itu dengan 14 gol dalam 18 penampilan liga bagi Porto, dan menjaringkan gol di tempat sendiri dan tempat lawan semasa menentang AC Milan di Liga Juara-Juara.
Pemain berusia 25 tahun itu dengan pantas menjadi rebutan ramai dan Liverpool bertindak cepat agar tidak terlepas. Kelab lain, termasuk Tottenham, Newcastle dan Everton, juga dikaitkan dengan bidaan bagi pemain itu.
Cabaran beliau seterusnya ialah mengikuti jejak rakan senegaranya Radamel Falcao dan James Rodriguez, bekas bintang Porto yang memberi impak besar dalam liga teratas Eropah.
Antara hobi Diaz semasa kecil ialah melihat kereta api besar melalui kampung kecilnya di Barrancas tiga kali sehari. Kereta api itu membawa arang batu dari Cerrejon, salah sebuah lombong arang batu terbuka terbesar di dunia. Kebanyakan produknya dihantar ke Eropah.
Semasa kereta api bergerak, Diaz sering terfikir apakah beliau akan berpeluang melihat lebih banyak lagi di dunia ini. Tidak ramai kanak-kanak yang dilahirkan di rantau La Guajira berpeluang sebegitu. Hingga hari ini, ia kekal sebagai sebuah kawasan paling diabaikan oleh pemerintah Colombia.
Seramai 4,770 kanak-kanak Wayuu meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan antara 2008 dan 2016. Krisis kemanusiaan masih berterusan dan menarik perhatian pertubuhan seperti Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Apabila 'Pocillo' kali pertama bertemu Diaz pada 2015, beliau terkejut melihat betapa kurusnya beliau.
"Seketika, kami fikir sangat sukar untuk Lucho beraksi kerana beliau nampaknya mengalami masalah kekurangan zat makanan - beliau sangat kurus dan tewas dalam persaingan dengan pemain lain.
"Tapi, beliau menyerlah dalam kalangan 400 calon dan menyertai skuad 26 pemain.
Diaz pada mulanya bermain sebagai penyerang, tetapi mempunyai satu isu besar dalam permainannya. Beliau berlari membawa bola sambil tunduk, jadi, kadang-kadang beliau tidak perasan yang beliau sudah sampai di hujung padang.
"Beliau sangat pantas dan mempunyai teknik sangat baik, bola akan melekat pada kakinya seperti pelekat,"kata 'Pocillo'.
Akhirnya, Colombia tewas 1-0 kepada Paraguay dalam perlawanan akhir Copa America of Indigenous People, tetapi Diaz menamatkan pertandingan itu dengan dua gol dan masa depan cerah.
Semasa pulang dari Chile, dia tidak pulang ke Barrancas, sebaliknya memeterai kontrak bersama kelab peringkat kedua Barranquilla FC, sekutu Junior FC.
Pada 2017, beliau pindah ke Junior FC dan tidak menoleh ke belakang - terus memenangi liga Colombia dan mara ke final Copa Sudamericana tahun berikutnya.
Diaz juga menjaringkan gol pertama pasukan kebangsaannya dalam kekalahan 2-1 kepada Korea Selatan pada 2019, pemain bola sepak pertama dari La Guajira melakukan itu sejak 1990-an.
Bekas bos Colombia Carlos Queiroz, yang pernah mengetuai Portugal dan Real Madrid serta bekerja di Manchester United membandingkannya dengan legenda Luis Figo.
Diaz mendapat tawaran daripada Zenit St Petersburg dan Cardiff City, antara lain, tetapi memilih Porto dalam perjanjian £7 juta pada musim sama.
Namun, tidak mungkin beliau tinggal lama di kelab itu memandangkan bakatnya luar biasa.
"Lucho boleh merembat dari jarak jauh, selesa dengan dua kakinya, boleh menggelecek, boleh membuka pertahanan dan boleh menjaringkan gol. Apa beliau tidak boleh buat?
"Tetapi, percaya atau tidak, beliau masih belum mencapai tahap terbaiknya," kata 'Pocillo'. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg