Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

FORMULA SATU

Perjalanan sebagai juara dunia

Nov 23, 2020 | 05:30 AM



LONDON: Lewis Hamilton menggegarkan dunia pada kali pertama beliau memandu kereta Formula Satu (F1).



Tempat di Silverstone, dan pada September 2006, Hamilton, 21 tahun diberi peluang menunjukkan keupayaannya dalam kereta itu oleh McLaren, yang sedang meneroka kesesuaian menaikkannya ke pasukan F1 pada tahun selanjutnya.



Pemandu F1 McLaren, Pedro de la Ros turut memandu keretanya pada hari tersebut, bertindak sebagai ukur tara.



Jurutera McLaren yang menyediakan kereta tahu Hamilton berbakat - mereka telah memberinya sokongan bagi lapan tahun sebelumnya - tapi mereka juga realistik dan menjangka Hamilton memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri kepada tuntutan memandu kereta Grand Prix.



Jangkaan mereka salah.



Selepas dua pusingan untuk menyesuaikan diri, Hamilton diberikan tayar baru dan serta-merta, beliau menyaingi masa yang dicatatkan oleh De la Rosa.



"Melihat data tersebut bagi beberapa saat, De La Rosa berkata:



"Pada saat itu, saya sedar kami - termasuk pemandu lain - mempunyai masalah baru.



"Data yang dirakamkan oleh Lewis menunjukkan beliau berada di tahap keupayaan yang berbeza berbanding pemain lain," kata De La Rosa.



Pasukan ujian itu menyatakan bahawa Hamilton menakjubkan dalam laporannya kepada pegawai ketua eksekutif pasukan McLaren Martin Whitmarsh pada ketika itu dan tidak lama selepas itu, Hamilton dinamakan sebagai salah satu pemandu McLaren, digandingkan dengan juara dunia berganda Fernando Alonso.



Hamilton memulakan musim pertama dengan baik tetapi tidak bernasib baik sehingga gagal meraih kejuaraan, tetapi kehebatannya tidak dapat dibendung pada tahun selanjutnya, apabila beliau memenangi kejuaraan dunia dan menjadi juara F1 yang termuda dalam sejarah.



Sejak saat itu, Hamilton terus memahat nama dalam sejarah, mencatat masa kelayakan terpantas dan memenangi perlumbaan demi perlumbaan bersama McLaren dan selanjutnya di Mercedes.



Pencapaiannya itu bukan sahaja menjadikannya ikon di dalam sukan itu, malah menambah pengaruh di luar litar.



Namun, kehebatan Hamilton juga mengundang kontroversi.



Meskipun pihak yang bekerjasama rapat dengannya menggambarkannya sebagai seseorang yang adil, pemurah da jujur, mereka juga menyifatkannya sebagai terlalu tertumpu untuk bersaing, tidak mempedulikan perasaan orang lain dan amat obses.



Kemenangannya di Grand Prix Turkey minggu lalu membenarkan Hamilton menyamai bilangan kejuaraan yang dimenangi Michael Schumacher - tujuh gelaran dunia.



Namun beliau juga berpeluang memenangi kejuaraan dunia kelapan musim depan.



TITIK PERMULAAN PERJALANAN JUARA



Semua ini bermula di litar go-kart bernama Rye House di Hertfordshire.



Pada usia lapan tahun, Hamilton dibawa ke litar itu oleh bapanya Anthony dan menggunakan go-kart terpakai, Hamilton menarik perhatian - bukan sahaja kerana beliau begitu cekap memandu kenderaannya, malah kerana beliau antara segelintir budak-budak berkulit hitam di sana.



Pada ketika itu sukan lumba motor menjadi tumpuan warga kulit putih semata-mata dan F1 tidak berwakil pemandu berkulit hitam.



Kebanyakan yang menceburi bidang lumba motor juga mempunyai latar belakang mewah.



Hamilton berkulit hitam dan bukan dari keluarga yang mewah.



Datuk dan neneknya ke Britain dari Grenada pada tahun 1950-an dan Antony berkahwin dengan Carmen, seorang wanita kulit putih dan dikurniakan bayi yang dinamakan Lewis pada 1985.



Anthony terpaksa bertungkus lumus untuk membuka peluang bagi Hamilton berlumba.



Beliau mendukung beberapa pekerjaan, termasuk sebagai pegawai IT bagi pengendali kereta api dan menjadi pencuci pinggan mangkuk di restoran dan membantu ejen hartanah memasang papan tanda 'Untuk Dijual' di laman rumah.



Beliau juga membeli treler untuk menyimpan go-kart dan tayar gantian, ujar Hamilton dalam satu wawancara dengan BBC.



Namun wang bukan satu-satunya masalah yang dihadapi keluarga Hamilton.



Lewis, pada usia lapan tahun juga terpaksa mendengar kata berbaur perkauman yang dilontar ke arahnya di litar.



"Saya hendak membalas dendam pada ketika itu," kata Hamilton.



"Tapi lama-kelamaan, saya sekadar menyimpan perasaan itu dah terus berlumba, mempertingkat kemahiran,"



Pada usia 10 tahun, Hamilton menjadi pemenang termuda kejohanan go-kart kader Britain. Pada tahun yang sama, pada 1995, beliau diundang menghadiri Anugerah Sukan Bermotor dan bertemu ketua pasukan McLaren Ron Dennis dan selepas memperkenalkan dirinya, berkata:



"Saya ingin berlumba menggunakan kereta anda."



Tiga tahun selepas itu, Hamilton memenangi kejohanan go-kart Britain kedua dan Dennis mengambilnya menyertai program pembangunan pemandu McLaren.



Segala-galanya adalah sejarah selepas itu, dengan Hamilton pantas bangkit ke perlumbaan F3, F2 dan selanjutnya F1.



DI AWAL KERJAYA F1



Sebagaimana beliau menarik perhatian di litar go-kart, Hamilton menunjukkan beliau bakat lain dari yang lain dengan memenangi tempat di podium bagi sembilan perlumbaan berturut-turut, mendorong media Italy untuk menggelarkannya "Il Fenomeno".



Namun, kebangkitannya itu mencetus ketegangan di McLaren,



Meskipun tidak diperuntuk kontraknya, Alonso menuntut supaya beliau dianggap sebagai ketua pasukan dan pesaing kejuaraan dunia dan secara tidak langsung, cuba mengadang kebangkitan Hamilton.



Dalam perlumbaan pertama musim itu, Hamilton menarik perhatian selepas dari kedudukan keempat, memotong Alonso yang berada di kedudukan kedua. Pada perlumbaan selanjutnya di Monaco, Hamilton enggan mengurangkan kelajuan dan cuba memberi tekanan terhadap Alonso, ketika Alonso mendahului perlumbaan dan Hamilton dibelakangnya.



Dan pada perlumbaan selanjutnya, Hamilton berjaya memenangi perlumbaan yang pertama.



Ketegangan antara kededua pemandu mencapai kemuncaknya di Grand Prix Hungary, selepas Hamilton enggan mematuhi peraturan pasukan dan Alonso cuba mengadang Hamilton daripada menukar tayar - perbuatan yang menyebabkannya dipotong lima mata.



Namun pada musim selanjutnya, tiada apa yang dapat menghadang Hamilton, selepas Alonso meninggalkan pasukan itu dan Hamilton memenangi perlumbaan Grand Prix Jepun dengan cara yang dramatik.



Pada tahun-tahun yang seterusnya, Hamilton cuba tetapi gagal untuk memenangi kejuaraan kedua dengan McLaren dan pada 2012, berpindah ke Mercedes.



Tidak lama selepas itu, Hamilton memenangi dua kejuaraan berturut-turut, pada 2014 dan 2015, sebelum beliau terpaksa melucut kejuaraan kepada rakan sepasukan Nico Rosberg pada 2016 - meskipun beliau mencetus kontroversi kerana mencadangkan ada pihak yang tidak mahu beliau menang pada tahun itu.



Dari kekalahan itu, Hamilton bangkit untuk memenangi empat kejuaraan dunia - pada 2017, 2018, 2019 dan kini 2020.



Beliau bukan sahaja memenangi 92 Grand Prix, memecah rekod Schumacher, malah kini telah menyamai rekod bilangan kejuaraan dunia Schumacher itu.



Kebangkitan itu diiringi tekad untuk menggunakan pengaruhnya sebagai atlet untuk meningkatkan kesedaran mengenai perkauman dan ketidaksaksamaan dan 'mengubah' dunia.



Sebahagian pemandu dan kru F1 kini berlutut untuk menyokong pergerakan #BlackLivesMatter - atas desakan Hamilton - dan beliau terus bergiat memperjuangkan isu-isu sekitaran.



Lebih membimbangkan pesaingnya, Hamilton berkata beliau belum bersedia untuk bersara dan berasa musim ini permulaan baru bagi dirinya.



"Saya yakin, ini permulaan jalan cerita yang lebih baik," kata Hamilton. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >