Perlawanan amal kumpul dana bagi bekas penyerang nasional

BELIAU mungkin tidak dikenali generasi pemain bola sepak hari ini tetapi nama Mohd Yunus Baba, kini berusia 66 tahun, antara yang disegani skuad nasional pada era 1970-an dan awal 1980-an.

Bermain bersama-sama legenda bola sepak lain termasuk Muhammad Ali Amat, Dollah Kassim, Quah Kim Song dan Gulam Mohammad, Yunus, yang bergerak sebagai pemain penyerang, pernah membantu perjuangan pasukan Singa dalam pelbagai kejohanan serantau.

Dan bagi mengenang sumbangan besarnya dalam arena bola sepak setempat - di samping mengumpulkan dana bagi meringankan kos rawatan Yunus sejak beliau disahkan menghidap Hodgkin's limfoma, sejenis barah yang menjejas sel darah putih, pada awal tahun ini - satu perlawanan amal dirancangkan pada Ahad ini.

Pertarungan amal ini, antara Bekas Bintang Antarabangsa Singapura menentang Legenda South Avenue - bekas kelab di mana Yunus pernah menyarungi jersinya serta menjadi jurulatih tidak lama dulu - dijadualkan di Stadium Jalan Besar bermula 5 petang.

"Beliau banyak menyumbang kepada pasukan nasional selain bola sepak setempat semasa menjadi pemain dan ketika menjadi jurulatih pasukan South Avenue," ujar Shahri Rahim, bekas penjaga gawang skuad nasional yang juga antara penggerak utama bagi penganjuran perlawanan amal ini.

"Jadi, kami berharap dapat mengumpulkan masyarakat bola sepak setempat untuk sama-sama meringankan kos perubatannya.

"Dengan sokongan bersama, saya berharap kami dapat mencapai matlamat yang murni ini," tambah Shahri.

Antara bekas pemain nasional yang dijangka menyarungi jersi Bekas Bintang Antarabangsa Singapura ialah Razali Saad, Bashir Khan, Dalis Supait, Robert Sim, Malek Awab dan Rafi Ali.

Skuad Legenda South Avenue - kelab yang terkenal di kawasan timur pada tahun-tahun 1970-an hingga awal 1990-an - juga bukan calang-calang dan pernah diwakili ramai pemain skuad nasional termasuk Shahri sendiri, Yusman Yusof, Gusta Guzarishah dan Hasrin Jailani, kini jurulatih Geylang International.

Pada sebelah pagi Ahad ini - bertempat juga di Stadium Jalan Besar - turut dianjurkan satu kejohanan amal sembilan sepasuk yang dibuka kepada umum. Yuran pendaftaran ialah $500 setiap pasukan dengan kesemua dana yang terkumpul itu akan juga dihulurkan kepada Yunus dan keluarganya.

Keterangan lanjut boleh didapatkan dengan menghubungi talian 8700-5425.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:48
Zuhur
12:51
Asar
4:13
Maghrib
6:52
Isyak
8:04
3 HR PSI: 24
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.