LONDON: Peminat bola sepak Liga Perdana England (EPL) akan melihat beberapa perubahan kecil dalam minggu-minggu akan datang.

Ini kerana, terdapat 52 perlawanan EPL sepanjang Ramadan ini, termasuk sembilan perlawanan yang akan diadakan di tengah-tengah waktu berbuka, sekali gus bermakna pemain beragama Islam perlu berbuka puasa sedang perlawanan berlangsung.

Musim lalu, dalam perlawanan antara Leicester City dengan Crystal Palace di King Power Stadium, perlawanan dihentikan buat seketika bagi membolehkan pemain Leicester, Wesley Fofana dan pemain Crystal Palace, Cheikhou Kouyate, berbuka puasa.

APA AKAN DILAKUKAN MUSIM INI?

Musim lalu, terdapat perjanjian antara kapten kededua pasukan untuk memberi kelonggaran bagi waktu rehat sebentar semasa perlawanan dihentikan apabila bola keluar padang supaya jika ada pemain beragama Islam dalam mana-mana pasukan, pemain itu boleh diberi sedikit masa untuk berbuka puasa.

Bagi musim ini, meskipun tiada garis pandu rasmi, kapten kedua-dua pasukan boleh memohon bagi tempoh rehat itu semasa perlawanan dalam pertemuan dengan pengadil yang diadakan sebelum setiap perlawanan.

Semasa tempoh rehat ini, pemain yang sedang berpuasa, boleh keluar padang seketika untuk mengambil minuman atau supplemen sebelum sambung beraksi di padang.

Di samping itu, sebagai meningkatkan kesedaran mengenai Ramadan, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) juga telah mendapatkan khidmat Nujum Sports untuk mengendalikan bengkel Ramadan kepada para pemain.

TINGKAT KESEDARAN, PUPUK PERSEFAHAMAN

Inisiatif menganjurkan bengkel Ramadan itu telah menerima sambutan menggalakkan.

Nujum Sports juga telah mengedarkan lebih 270 pek hadiah Ramadan kepada 279 atlet beragama Islam, termasuk 180 pemain bola sepak yang beraksi di Liga Perdana hinggalah ke divisyen non-league.

Pembahagian pek yang dilancarkan di London awal bulan lalu mengandungi kurma, air zam-zam, sajadah dan wangi-wangian.

Menurut Nujum, usahanya itu adalah sumbangan kecilnya setelah diberi peluang mewakili masyarakat sukan beragama Islam dan mengendalikan usaha dalam sektor tersebut bagi manfaat masyarakat sukan lebih besar.

Ketua badan amal yang menolak diskriminasi, 'Kick It Out', Troy Townsend, berkata dalam satu laporan BBC Sports:

"Nujum telah melakukan kerja yang baik dari segi meningkatkan kesedaran mengenai masyarakat Islam, untuk memahami agama ini dan apa yang penganutnya lalui semasa bulan Ramadan."

PERLAWANAN EPL YANG PERLUKAN PEMAIN BERBUKA PUASA:

  1. Isnin, 4 April: Crystal Palace lwn Arsenal
  2. Rabu, 6 April: Burnley lwn Everton
  3. Jumaat, 8 April: Newcastle lwn Wolves
  4. Selasa, 19 April: Liverpool lwn Manchester United
  5. Rabu, 20 April: Chelsea lwn Arsenal, Everton lwn Leicester, Newcastle lwn Crystal Palace dan Manchester City lwn Brighton
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti