DUA perlawanan Liga Perdana Singapura melibatkan Tampines Rovers telah dipindahkan ke tarikh lebih lanjut untuk membenarkan kelab itu membuat persiapan yang mencukupi selepas tempoh kuarantin berakhir.
Dua lagi perlawanan juga akan dijadualkan semula kerana ia bertembung dengan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang telah dianjak ke tarikh yang sama.
Tampines, wakil tunggal negara ke Liga Juara-Juara Asia di Taskent, Uzbekistan, telah dikenakan kuarantin sekembalinya ke sini pada awam bulan ini.
Ia dijadualkan bertemu dengan Lion City Sailors pada 4 Ogos dan selanjutnya dengan Geylang International pada 8 Ogos.
Kededua perlawanan itu, masing-masing telah dianjak ke 21 September dan 25 Ogos.
Dua perlawanan SPL pada 21 Ogos juga telah dijadualkan semula kepada tarikh lebih awal selepas Perbarisan Hari Kebangsaan dipindahkan ke tarikh tersebut.
Perlawanan antara Tampines Rovers dengan Balestier Khalsa kini akan berlangsung pada 19 Ogos, sementara perlawanan antara Hougang United dengan Geylang International akan diadakan pada 20 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg