Persatuan olahraga telah membalas komen Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Mark Chay, yang berkata sukan tersebut perlu “menyertai pesta” di Sukan SEA jika Singapura ingin menduduki tempat antara tiga negara terbaik pada edisi 2029 yang akan diadakan di negara ini.
Komen Chay dibuat pada tinjauan Team Singapore pada 20 Disember, hari terakhir Sukan SEA Thailand, yang mana bekas perenang kebangsaan itu meminta olahraga memberi sumbangan lebih besar kepada jumlah pingat emas Singapura.
Menyebut bahawa sukan akuatik dan olahraga adalah dua sukan wajib di temasya dua tahunan itu, Chay membandingkan pencapaian kededua sukan di Bangkok.
Beliau mengatakan sukan renang menyumbang “50 peratus pingat emas” (19 daripada 38 acara), sementara olahraga hanya meraih tiga emas daripada 47 acara.
Di Thailand, kontinjen olahraga terbesar Singapura yang terdiri daripada 39 atlet memenangi tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa, bersama tiga rekod kebangsaan, lapor The Straits Times (ST).
Kutipan itu menyamai pencapaian terbaik Singapura di temasya serantau dalam tempoh sedekad, menyamai rekod 3-3-3 yang dicapai pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
Namun, komen Chay tidak diterima baik oleh persatuan olahraga, dengan Presiden Olahraga Singapura (SA), Lien Choong Luen; Naib Presiden, Marinda Teo; dan pelari jarak jauh, Soh Rui Yong, tampil di media sosial untuk memberikan respons.
Atlet maraton dua kali juara Sukan SEA, Soh, yang membuat penampilan keempatnya di Thailand, menegaskan “Singapura menghantar sekumpulan pelajar sepenuh masa, jurutera perisian, guru, pekerja pemerintah, dan pekerja korporat” untuk bersaing dengan atlet sepenuh masa.
Antara contoh yang diberikan adalah pemecut remaja Thailand, Puripol Boonson, yang menyelesaikan gelaran treble 100 meter, 200 meter dan 4 x100 meter, serta pelari jarak jauh Thailand-Amerika, Kieran Tuntivate, yang meraih emas dalam acara 1,500 meter, 5,000 meter dan 10,000 meter.
Sebahagian daripada kontinjen Singapura, termasuk Shanti Pereira, yang mempertahankan gelaran 100 meter dan 200 meter wanita, dan Marc Louis, peraih perak 200 meter lelaki, berada di bawah Biasiswa Kecemerlangan Sukan (spexScholarship).
“Singapura mempunyai sumber untuk membiayai program olahraga berprestasi tinggi yang betul jika negara ini mahu, tetapi sumber tersebut tidak mengalir ke sukan ini,” kata atlet berusia 33 tahun itu, yang turut memenangi perak 10,000 meter pada 2023.
“Sehingga itu, jangan harap untuk memenangi banyak pingat emas,” tambahnya.
Lien mengakui pelaburan sepenuh masa negara-negara jiran di luar negara telah meningkatkan standard atlet serantau, dengan menunjukkan bagaimana empat daripada lapan finalis dalam acara 100 meter lelaki pada Sukan Asia 2023 datang dari Asia Tenggara.
Beliau berkata: “Saya sangat menghargai atlet kami yang melepasi pencapaian sejarah kami atau rekod mereka sendiri, tetapi saya tidak dapat mengawal apa yang dilakukan oleh pesaing kami.”
Di Bangkok, Singapura menikmati beberapa pencapaian cemerlang dalam olahraga.
Pingat emas Calvin Quek dalam acara 400 meter berpagar adalah yang pertama bagi negara dalam tempoh 60 tahun, manakala ratu pecut Pereira mencatat sejarah dengan kemenangan berganda.
Pingat perak Kampton Kam dalam lompat tinggi adalah pingat pertama Singapura dalam acara tersebut dalam tempoh tiga dekad, manakala gangsa yang dimenangi Andrew Medina dalam lompat jauh menamatkan penantian 42 tahun Singapura untuk meraih pingat dalam acara itu.
Gabriel Lee juga meraih gangsa dalam lompat kijang, mencatat pingat pertama Singapura dalam acara itu sejak 1971.
Lien berkata SA telah meningkatkan usaha pengumpulan dana dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan syarikat-syarikat seperti DBS Bank (POSB), NTUC Income, New Balance dan Pocari Sweat menyokong atlet, manakala Standard Chartered Bank menyokong Sukan Maraton Singapura.
Namun, beliau menegaskan keperluan untuk pelan pembiayaan jangka panjang yang “memberikan kepastian kepada atlet bahawa jika mereka bekerja keras, kami akan bersama mereka melalui suka dan duka.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg