Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persisi buat laporan polis terhadap pengarah kewangan atas isu bayaran gaji jurulatih silat

Feb 25, 2023 | 7:13 PM
1299bc57-5601-4b27-8493-eaa62f5d74fd
- Foto: DIPETIK DARI GOOGLE MAPS

PERSEKUTUAN Silat Singapura (Persisi) telah membuat laporan polis terhadap pengarah kewangannya setelah mendapati ketidakteraturan berkaitan pembayaran gaji kepada beberapa jurulatih.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Persisi berkata pengarah kewangan berkenaan telah digantung daripada tugasnya.

Badan pentadbir sukan silat negara itu berkata: "Persisi akan bekerjasama penuh dengan pihak penguasa dalam siasatan mereka. Kami akan juga bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Singapura (SportSG) untuk mengurangkan kesan insiden ini pada jurulatih dan atlet dalam fraterniti silat."

Persisi berkata lagi bahawa sokongan latihan dan pertandingan untuk pesilat Singapura akan diteruskan semasa tempoh ini.

"Di samping itu, kami akan mengambil peluang ini untuk menyemak proses dalaman kami dan mengukuhkan sistem itu. Memandangkan kes ini masih dalam siasatan, kami tidak dapat berkongsi butiran lanjut," tambah Persisi.

Majlis Sukan Singapura, dalam satu kenyataan pada Sabtu, menyifatkan kes itu sebagai "menimbulkan kebimbangan serius".

"Majlis Sukan Singapura baru-baru ini menerima maklum balas yang mendakwa terdapat ketidakteraturan dalam amalan kewangan Persisi. Selepas semakan kami, kami menemui maklumat yang menimbulkan kebimbangan serius.

"Majlis Sukan Singapura bertemu dengan jawatankuasa pengurusan Persisi untuk memaklumkan mereka tentang penemuan kami, dan kami difahamkan bahawa Persisi kemudiannya memfailkan laporan polis," kata seorang jurucakap Majlis Sukan Singapura.

Agensi sukan Singapura itu menambah bahawa ia akan bekerjasama dengan Persisi untuk memastikan latihan dan pertandingan pesilat negara tidak terjejas oleh insiden itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg