Skuad Lions menerima tamparan hebat menjelang Piala Asia 2027 apabila pemain pertahanan kiri, Nur Adam Abdullah, terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut yang serius.

Pemain pertahanan yang kental itu mengalami kecederaan koyak ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kanannya dan dijangka terlepas sebahagian besar musim 2026-27, menurut pengumuman kelabnya, Lion City Sailors, di media sosial pada 12 Oktober.

Beliau mengalami kecederaan tersebut semasa perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) di Stadium Jalan Besar pada hari sebelumnya, di mana Sailors mencatatkan kemenangan 6-1 ke atas Young Lions.

Pemain berusia 25 tahun itu terjatuh akibat terjahan oleh kapten Young Lions, Andy Reefqy, pada masa kecederaan dan dilihat memegang lutut kanannya.

Kecederaan koyak ACL biasanya memerlukan tempoh pemulihan sekurang-kurangnya enam bulan.

Kelab itu, yang menyatakan rasa amat kecewa kerana terpaksa membuat pengumuman tersebut, menambah: “Keluarga Sailors sentiasa menyokong anda, Nur Adam. Semoga anda kembali pulih dengan kuat.”

Nur Adam merupakan pemain tetap di barisan pertahanan pasukan kendalian jurulatih Gavin Lee sepanjang 2026, dengan mencatatkan 639 minit permainan dalam sembilan perlawanan merangkumi Kejohanan Asean pada Julai dan Ogos serta Piala Asean Fifa yang julung kali diadakan pada September dan Oktober.

Pasukan Lions diletakkan dalam Kumpulan D bersama Australia, Iraq dan Tajikistan bagi kejohanan Piala Asia yang akan berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari di Arab Saudi.

Ketika dihubungi, Lee memberitahu The Straits Times (ST): “Ini sememangnya berita yang mengecewakan dan kami turut bersimpati dengan Adam.

“Jika ada seorang pemain yang cukup kuat dari segi mental untuk bangkit semula, dialah orangnya.”

“Sudah tentu ia merupakan satu cabaran memandangkan sumbangan beliau kepada pasukan kebelakangan ini.

“Buat masa ini, seperti dalam apa jua keadaan, kami perlu mengambil langkah ke belakang untuk menilai semula segala penyelesaian yang mungkin sebelum mengecilkan senarai calon pengganti yang berpotensi.”

Nur Adam, yang telah membuat 22 penampilan bersama pasukan kebangsaan Singapura sejak panggilan pertamanya pada 2021, tidak dapat menyertai pasukan itu bagi sebahagian besar tempoh antara 2023 hingga 2025 akibat kecederaan bahu dan komitmen perkhidmatan negara.