CATATAN birdie dan par gugur bertaburan bagai bunga yang patah tangkai dalam pertandingan golf amatur MS Classic yang diadakan di padang golf Forest City di Johor Selasa lalu.
Pertandingan yang bertujuan mengasah bakat golf setempat di samping mengukuh jalinan antara kaum menerusi sukan itu disertai oleh 120 pemain dari pelbagai kaum dari Singapura.
Kejohanan tahunan edisi ke-14 anjuran kumpulan golf Melayu Singapura itu disambung semula tahun ini setelah dua tahun menyepi gara-gara kemelut Covid-19.
Pengasas dan ketua MS Classic, Encik Mohammad Said Abdul Latif, atau dikenali dengan gelaran Pro Said, memberitahu Berita Minggu bahawa pihaknya gembira dengan sambutan yang diberikan dan prestasi tinggi yang ditonjolkan di kejohanan ini.
"Kami gembira dapat berkumpul semula setelah dua tahun dilanda Covid-19. Semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh peserta amat baik. Para peserta pun nampak berpuas hati dengan persiapan yang telah kami lakukan,'' katanya.
Beliau berterima kasih kepada pasukan penganjur termasuk pasangan suami isteri Encik Mohamed Ismail Nasir dan Cik Haslina Isahak yang merupakan antara tenaga penggerak utama.
"Alhamdulillah, laluan di sempadan tidak begitu sesak pada hari kejohanan dan cuaca pun amat baik. Keadaan ini memberi semangat kepada pemain dan mendorong mereka bermain dengan baik,'' tambah beliau.
Namun, beliau berasa sedih dengan kehilangan salah seorang daripada orang kuat kejohanan itu, iaitu Allahyarham Haji Mohamed Redza Naim, yang meninggal dunia akibat penyakit jantung beberapa hari sebelum kejohanan berlangsung.
"Beliau antara pengasas MS Classic dan telah banyak menyumbang kepada kejohanan ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau,'' kata Pro Said lagi.
Encik Mohamed Ali Rais muncul sebagai juara keseluruhan, sementara Encik Lee Trevor Jeremiah menjadi juara bagi Divisyen B.
Umar Elffy pula menjuarai kategori Junior yang julung-julung kali diadakan bagi pemain golf kanak-kanak berusia antara lapan dengan 12 tahun.
Kejohanan turut diserikan dengan kehadiran mantan Setiausaha Parlimen Kanan dan kini wakil bukan pemastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi, selaku tetamu terhormat.
Jaguh golf setempat Encik Mardan Mamat juga hadir selaku tetamu khas.
Bagi kejohanan tahun depan, Pro Said berkata pihaknya berharap dapat mengadakannya di Singapura.
Beliau juga menjangkakan lebih ramai peserta bukan Melayu bagi kejohanan akan datang.
Antara keunikan kejohanan itu ialah pemakaian kemeja-T kejohanan dan seluar panjang putih sebagai melambangkan perpaduan dan persaudaraan sukan.