Topik diikuti
Pergi ke BHkuPertempuran Singa, Gajah Perang di setiap posisi jadi tumpuan
Pemain pertahanan, tengah dan penyerang kededua negara bakal papar kehebatan masing-masing
Thailand mungkin ‘turun padang’ sebagai pasukan pilihan dengan rekod tujuh kejuaraan Asean – tiga lebih banyak berbanding empat milik Singapura.
Namun, skuad Singa telah membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing apabila mara ke separuh akhir dengan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan, meskipun berdepan dengan juara bertahan Vietnam dan Indonesia.
Singapura menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan A selepas menewaskan Kemboja dan Timor-Leste, sebelum mengikat Vietnam 0-0 di tempat lawan, dan Indonesia 1-1 di Stadium Jalan Besar.
Tetapi Thailand pula tampil lebih dominan apabila memenangi kesemua empat perlawanan Kumpulan B, mengumpul 12 mata tanpa bolos dengan kelebihan 10 jaringan.
Keadaan itu menjadikan separuh akhir ini pertemuan menarik antara Singapura yang sedang menikmati kebangkitan di bawah kepimpinan Gavin Lee, dengan Thailand, yang sekali lagi membuktikan mengapa mereka kekal antara pasukan penanda aras dalam kejohanan ini.
Bagi skuad Singa, cabarannya kini adalah untuk membuktikan bahawa rekod tanpa kalah ketika mengharungi Kumpulan A yang sukar boleh diteruskan dengan satu lagi persembahan mantap apabila saingan memasuki peringkat kalah mati.
Dengan penentuan tiket ke final berlangsung menerusi dua perlawanan, aksi pertama di Stadium Jalan Besar pada 15 Ogos bakal menjadi sangat penting dalam menentukan kesengitan separuh akhir ini.
Pertembungan tersebut bakal ditentukan oleh beberapa pertempuran penting antara pemain di setiap bahagian padang.
Pertahanan
Singapura – Jacob Mahler
Mahler memasuki perlawanan separuh akhir dengan keyakinan tinggi selepas dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan ketika menentang Indonesia.
Aksi mantapnya di benteng pertahanan membantu The Lions meraih keputusan penting untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati.
Kini, beliau perlu memastikan benteng Singapura kekal kukuh berdepan serangan Thailand.
Cabaran itu bukan mudah memandangkan Thailand tampil dengan jentera serangan yang tajam sepanjang saingan kumpulan.
Gandingan beliau bersama kapten berpengalaman Singa, Hariss Harun akan diuji oleh barisan serangan berbisa Thailand yang telah menjaringkan 10 gol dalam empat perlawanan.
Dengan tiket ke final menjadi taruhan, disiplin dan ketahanan benteng Singapura akan benar-benar diuji.
Thailand – Manuel Bihr
Berpengalaman, tenang dan kuat secara fizikal, Manuel Bihr menjadi antara tonggak utama yang perlu ditembusi Ilhan Fandi dan barisan serangan Singapura.
Pengalaman serta keupayaan fizikalnya menjadikan Bihr penting dalam mengawal kawasan pertahanan Thailand.
Dengan ketinggian sekitar 1.84 meter, beliau turut mempunyai kelebihan dalam perebutan bola udara dan situasi bola mati.
Dalam kempen Piala Asean Hyundai 2026, Bihr merupakan sebahagian daripada skuad Thailand yang tampil dengan reputasi sebagai salah satu pasukan pilihan kejohanan.
Pertahanannya bagaimanapun bakal diuji oleh kelajuan dan pergerakan Ilhan serta serangan balas pantas Singapura.
Keupayaan Bihr untuk membaca permainan, memenangi duel dan mengekalkan disiplin di belakang akan menjadi penting jika Thailand mahu terus mengekalkan benteng mereka daripada dibolosi.
Tengah
Singapura –- Kyoga Nakamura
Kyoga Nakamura kini kembali memperkuatkan jentera tengah Singapura selepas terlepas aksi terakhir menentang Indonesia akibat penggantungan.
Kepulangannya adalah pada waktu penting ketika Singa bakal berdepan Thailand di separuh akhir.
Pasangan pemain tengahnya, Song Ui-young pula digantung satu perlawanan akibat mengumpul dua kad kuning.
Kyoga dijangka memainkan peranan besar dalam mengawal tempo permainan serta membantu Singapura keluar daripada tekanan lawan.
Kemampuannya menghubungkan bahagian pertahanan dan serangan juga boleh menjadi aset penting buat Singa.
Dengan Thailand dijangka memberi tekanan tinggi, ketenangan dan kawalan Kyoga di tengah padang bakal menjadi antara kunci Singapura dalam usaha memburu tiket ke final.
Thailand – Sarach Yooyen
Pengalaman dan ketenangan Sarach menjadikannya antara pemain penting Thailand di bahagian tengah.
Prestasi pemain tengah veteran itu menyerlah sebagai pemain tengah terbaik Thailand dalam kejohanan ini.
Pengaruh beliau dibuktikan apabila beliau menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan selepas persembahan cemerlang dalam kemenangan penting 2-0 mereka ke atas Malaysia pada peringkat kumpulan.
Keupayaannya mengawal permainan boleh menyukarkan Kyoga dan rakan untuk mendapatkan penguasaan bola.
Penyerang
Singapura – Ilhan Fandi
Ilhan muncul sebagai ancaman jaringan utama Singapura dalam kejohanan ini.
Pergerakan dan keupayaannya mencari ruang boleh menjadi senjata penting bagi Singa mencipta masalah kepada pertahanan Thailand.
Dijangka berdepan dengan peluang terhad menentang Thailand, beliau diharapkan cukup tajam untuk memanfaatkan peluang tersebut.
Thailand – Teerasak Poeiphimai
Dengan ketinggian 1.81 meter, Teerasak memanfaatkan kelebihan fizikalnya dengan baik untuk melindungi bola, menghubungkan permainan dengan pemain tengah dan menjaringkan peluang dengan tenang di dalam kotak penalti.
Pada usia 23 tahun, beliau pantas membuktikan dirinya sebagai titik fokus yang berkesan dalam jentera serangan Thailand.
Dengan penyerang utama seperti Supachai Jaided dan Suphanat Mueanta tidak dapat beraksi kerana kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain untuk kejohanan ini, Teerasak tampil mengisi kekosongan tersebut dengan cukup baik.
Ketajamannya, kekuatan fizikal serta keupayaan dalam permainan udara menjadikannya ancaman yang perlu diberi perhatian oleh barisan pertahanan Singa.
