ATLET Singapura menambah enam emas dalam pungutan pingat negara melalui sukan silat, lawan pedang, boling dan renang semalam.

Pesilat Singapura turut merakam persembahan terbaiknya dalam Sukan SEA 2021, yang ditunda selama enam bulan dek pandemik Covid-19, di Hanoi, Vietnam, dengan membolot lagi tiga emas.

Di Gimnasium Sukan Tertutup My Dinh semalam, pasukan lawan pedang Singapura, yang diwakili Kiria Tikanah, Elle Koh, Rebecca Ong dan Victoria Lim, mencipta sejarah meraih pingat emas Sukan SEA pertama negara dalam acara 'epee' berpasukan wanita.

Joseph Schooling memaparkan kehebatannya dalam kolam renang semalam, dengan menjuarai acara kuak kupu-kupu 100 meter lelaki untuk kali kelima berturut-turut, mengakhiri perlumbaan dalam masa 52.22 saat.

Pasukan boling menyumbang sebutir emas menerusi Cherie Tan dalam acara perseorangan wanita semalam.

Kesemuanya, silat membolot 11 pingat - empat emas, tiga perak dan empat gangsa - pada hari terakhir pertandingan semalam.

Ia turut melepasi sasaran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, yang meramalkan anak didiknya mungkin meraih tiga emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa dalam Sukan SEA ini.

Pesta pingat emas Singapura diterajui Nurul Suhaila Mohamed Saiful, yang pertama beraksi dalam final di Gimnasium Bac Tu Liem semalam.

Seorang lagi juara dunia, Muhammad Hazim Mohd Yusli, terus menyerlah di pentas Sukan SEA selepas meraih pingat emas keduanya dalam penampilan kedua berturut-turut di temasya sukan itu.

Hazim, 20 tahun, mengatasi Muhamad Yacsher Arafa dari Indonesia melalui keputusan technical knockout (TKO) dalam final acara tanding putera kelas C (55-60kg).

Juara dunia tiga kali Sheik Farhan Sheik Alau'ddin turut mempertahankan pingat emasnya dalam Sukan SEA.

Farhan, 24 tahun, menumpaskan Saranon Glompan dalam final acara tanding putera kelas J (90-95kg) selepas warga Thailand itu mengaku kalah.

LAPORAN SELANJUTNYA:

Jaguh renang, Joseph Schooling, menang emas acara 100m kuak kupu-kupu buat kali kelima Sukan SEA berturut-turut. Atlet boling, Cherie Tan, turut menyerlah dalam acara perseorangan wanita, menjatuhkan 1,442 pin untuk menang emas - Ikuti kisah mereka serta dapatkan laporan terkini aksi di Sukan SEA di BH.sg