SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pesilat muda SG teruja turun gelanggang antarabangsa

Pesilat muda SG teruja turun gelanggang antarabangsa

Masa depan silat S'pura cerah dengan 12 daripada 30 peserta berusia 20 tahun dan ke bawah
Jul 25, 2022 | 5:30 AM

Pesilat muda SG teruja turun gelanggang antarabangsa

MUDA MENYENGAT: Februari lalu, Nadhrah beraksi dalam Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 di Singapura, iaitu pertandingan antarabangsa peringkat senior pertamanya, dan muncul juara bagi acara tanding A (45-50kg) puteri. - Foto PERSISI
MUDA MENYENGAT: Februari lalu, Nadhrah beraksi dalam Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 di Singapura, iaitu pertandingan antarabangsa peringkat senior pertamanya, dan muncul juara bagi acara tanding A (45-50kg) puteri. - Foto PERSISI -

USIA muda bukan penghalang bagi srikandi silat Singapura Nadhrah Sahrin menunjukkan taringnya di medan saingan terbesar sukan itu.

Nadhrah, 18 tahun, antara 19 pesilat Singapura yang bakal berentap dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia buat julung kalinya.

Singapura diwakili 30 pesilat dalam kejohanan di Melaka dari esok hingga 31 Julai itu.

Edisi ke-19 pertandingan dwitahunan itu dijadual berlangsung pada 2020 tetapi ditunda dua tahun dek pandemik Covid-19.

"Saya rasa gementar dan juga teruja sebab ini pertandingan besar antarabangsa pertama saya dalam kategori senior," kata Nadhrah, yang bergiat dalam sukan taekwondo sebelum beralih ke silat pada usia lapan tahun.

"(Tapi) saya fikir kejohanan ini adalah peluang baik untuk mendedahkan diri bersaing menggunakan peraturan baru."

Februari lalu, beliau beraksi dalam Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 di Singapura, iaitu pertandingan antarabangsa peringkat senior pertamanya, dan muncul juara bagi acara tanding A (45-50kg) puteri.

"Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara adalah permulaan baik bagi penampilan sulung saya.

"Saya dapat melihat bagaimana lawan saya bersaing di pentas antarabangsa... dan kini saya tahu apa boleh dijangka dan lebih bersedia apabila menghadapi mereka," ujar pelajar jurusan perniagaan di Politeknik Republic itu, yang menyimpan hasrat meraih tempat di podium kejohanan dunia nanti.

Bakat muda seperti Nadhrah dan Nurhisham Sapari, 19 tahun - yang disertakan dalam skuad itu pada saat akhir dalam acara tanding F (70-75kg) putera, menggantikan Abdul Raaziq Abdul Rashid yang berundur akibat kecederaan lutut minggu lalu - menunjukkan masa depan cerah bagi sukan silat Singapura, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican.

Usia purata dalam skuad Kejohanan Pencak Silat Dunia Singapura tahun ini ialah 22 tahun. Daripada 30 pesilat yang bertanding, 12 berusia 20 tahun dan ke bawah.

Sheik berkata: "Pada usia 20 tahun, mereka masih muda dan boleh diasah. Masa depan mereka cerah dan persekutuan ini memberi mereka peluang berkembang secara individu."

Beliau menambah bahawa Persisi "telah berkembang selama bertahun-tahun, ia tidak seperti 10 tahun lalu".

"Atlet muda sekarang mempunyai peluang (bertanding dalam kejohanan besar) sebab persekutuan ini telah mengatur pembangunan mereka, yang mereka semua mempunyai peluang berkembang," ujarnya.

Sheik berkata Persisi bekerjasama dan mendapat sokongan penuh daripada Sport Singapore bagi atletnya bersaing dan pada masa sama fokus pada pelajaran.

Pesilat negara yang masih menuntut kini berpeluang bertanding dan meraih kecemerlangan dalam kejohanan besar seperti Kejohanan Pencak Silat Dunia, Sukan Asia dan Sukan SEA.

Ini juga membolehkan mereka mendapat Biasiswa Kecemerlangan Sukan (Biasiswa Spex) dan kemudian meraih pendapatan baik, jelas beliau.

Sheik menambah bahawa rancangan bagi semua pesilat negara ialah "mereka bertahan dalam sukan itu selama mungkin".

"Silat ada had usia hingga 45 tahun. Sekiranya pada usia 17 tahun mereka sudah beraksi di Sukan SEA dan terus bersaing hingga 45 tahun, mereka dapat menyertai banyak pertandingan... Dan jika mereka memutuskan bersara pada 30 hingga 32 tahun, mereka boleh menjadi jurulatih.

"Jelas, ada kerjaya dalam silat untuk mereka. Itu tidak dinafikan," katanya.

Ditanya mengenai sasaran beliau bagi bakat muda silat Singapura dalam kejohanan dunia kali ini, Sheik enggan meletak harapan tinggi kerana "atlet dari negara lain juga sedang berusaha gigih dan ingin menang pingat".

Sebaliknya, beliau kagum akan disiplin dan komitmen mereka berlatih lima kali seminggu dan dua kali sehari untuk menjadi yang lebih baik.

SKUAD SINGAPURA BAGI KEJOHANAN PENCAK SILAT DUNIA KE-19

ACARA TANDING PUTERA

Tanding -A (Bawah 45kg): Dhani Andika Razali

Tanding A (45-50kg): Muhamad Isqandar Dzulfiqar Md Roslan

Tanding B (50-55kg): Aniq 'Asri Mohd Yazid

Tanding C (55-60kg): Muhd Hazim Mohd Yusli

Tanding D (60-65kg): Muhd Riansyauqi Mistam

Tanding E (65-70kg): Abdul Raazaq Abdul Rashid

Tanding F (70-75kg): Nurhisham Sapari

Tanding G (75-80kg): Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin

Tanding H (80-85kg): Muhd Syahiran Jeffry

Putera Tanding I (85-90kg): Muhd Nurshahfareeq Shahrudin

Tanding J (90-95kg): Sheik Farhan Sheik Alau'ddin

Tanding Terbuka 1 (95-110kg): Muhd Syamil Jeffry

ACARA TANDING PUTERI

Tanding -A (Bawah 45kg): Nur Tuffah Izzah Md Roslan

Tanding A (45-50kg): Nadhrah Sahrin

Tanding B (50-55kg): Nur Syaza Insyirah Md Roslan

Tanding C (55-60kg): Nurul Suhaila Mohd Saiful

Tanding D (60-65kg): Siti Khadijah Mohd Shahrem

Tanding F (70-75kg): Nur Shaqira Sheik Alau'ddin

ACARA SENI

Tunggal Putera: Muhd Iqbal Abdul Rahman

Ganda Putera: Muhd Hazim Mohd Zaque & Muhd Haziq Mohd Zaque

Regu Putera: Muhd Affiz Md Zakri, Muhd Nazrul Mohd Kamal & Muhammadinil Mustafar Mohd Isa

Tunggal Puteri: Siti Nazurah Mohd Yusoff

Ganda Puteri: Nur Azlyana Ismail & Sharifah Shazza Samsuri

Regu Puteri: Iffah Batrisyia Noh, Amirah Sahrin & Nur Ashikin Binte Zulkifli

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg