Topic followed successfully
Go to BHkuPesilat muda tekad 'tunjuk taring' di India
Pesilat muda tekad 'tunjuk taring' di India
Pesilat muda tekad 'tunjuk taring' di India
DUA pesilat muda Muhamad Rizuan Muhamad Razak dan Nadhrah Sahrin yang sedang mewakili negara di Kejohanan Pencak Silat Asia di Kashmir, India, berkata mereka berazam untuk untuk menunjukkan 'taring' mereka.
Rizuan, 19 tahun, kembali cergas daripada kecederaan ligamen lutut anterior (ACL), yang dialami dalam Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara di Singapura pada Februari tahun ini, dan menggantikan juara dunia empat kali Sheik Farhan Sheik Alau'ddin dalam acara kelas J (90-95kg) tanding putera.
Sheik Farhan ialah juara bertahan dalam kelas itu, yang diadakan buat kali terakhir pada 2019 di Yanji, China.
"Akan sentiasa ada tekanan untuk saya membawa pulang pingat emas, tidak kira kelas apa yang saya bertanding," kata Rizuan, pelajar tahun terakhir dalam jurusan Pengursan Hospitaliti dan Pelancongan di Politeknik Nanyang.
"Tapi, saya sebaliknya ingin menukar tekanan ini dan menjadikannya sebagai satu motivasi, berbanding memikirkannya sebagai satu beban yang saya harus pikul," ujar beliau.
Kelas J juga merupakan acara yang baru buat Rizuan.
Beliau sebelumnya bersaing dalam kelas Terbuka 1 (lebih 95kg) bagi Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara awal tahun ini.
Ditanya sama ada peralihan kelas berat itu menimbulkan cabaran, beliau menyatakan bahawa tiada perbezaan ketara antara kedua-dua kelas tersebut.
"Ia tidak begitu susah sebab berat badan saya sudah dikekalkan antara Kelas J dan Terbuka 1. Dari segi permainan dan strategi, tidak banyak beza semasa saya bertanding dalam kelas Terbuka 1 dan J," jelasnya.
Kejohanan Asia ini juga merupakan penampilan sulungnya bersaing dalam pertandingan peringkat senior di luar negara.
"Seperti yang lain, saya sentiasa sasar untuk pulang ke tanah air dengan pingat emas dan membanggakan orang tersayang...
"Pada akhirnya, objektif utama pasti untuk meraih sesuatu. Saya selalu memberitahu diri saya tiada perkara seperti menang atau kalah tapi sebaliknya, sentiasa sama ada tentang meraih kemenangan atau pengalaman dalam pertandingan," kata Rizuan, yang mula bergiat dalam silat lima tahun lalu.
Nadhrah, 18 tahun, tekad melanjutkan prestasi mantapnya dalam arena silat antarabangsa.
Pelajar Sekolah Sukan Singapura itu sudah menggondol pingat emas dalam Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara pada Februari lalu, sebelum menang perak dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia di Melaka, Malaysia pada Julai tahun ini.
Nadhrah turut memaparkan dominasinya dalam kelas A (45-50kg) tanding A di tanah air ketika dinobat juara dalam Kejohanan Silat Tertiari ke-19, yang berlangsung di Anjung@WGS pada hujung minggu lalu.
Menganggap perjalanan silatnya tahun ini "goyah" pada awalnya, Nadhrah berkata:
"Pada mulanya, ia sukar kerana saya perlu mempersiapkan diri saya untuk bertanding dalam kategori senior, iaitu sesuatu yang baru kepada saya.
"Setiap perlawanan telah menjadi pengalaman pembelajaran bagi saya untuk memperbaik dan meneroka lebih banyak pelan permainan bagi menyesuaikan diri kepada peraturan baru (dalam silat)."
Berbekalkan pengalaman berharga yang diraih beraksi dalam pertandingan antarabangsa tahun ini, Nadhrah meletakkan harapan untuk sekali lagi naik ke podium di Kejohanan Asia kelak.
"Saya percaya dengan keupayaan saya sendiri bahawa saya mampu mencapai apa yang saya sasarkan.
"Saya tahu bahawa saya mampu melakukannya dengan sokongan yang diberikan oleh persekutuan, jurulatih, rakan sepasukan dan ibu bapa saya," tambah beliau.
Seramai 24 pesilat yang beraksi dalam 21 acara tanding dan seni akan mewakili negara di Kashmir.
Saingan bermula hari ini dan berlangsung sehingga Ahad ini.
Edisi keenam pertandingan itu diadakan semula selepas dua tahun menyepi akibat pandemik Covid-19.
Dalam edisi lalu Kejohanan Asia, Singapura membawa pulang tujuh emas, dua perak dan tujuh gangsa.
Pungutan pingat itu secara keseluruhan menggelar Singapura sebagai naib juara dalam kalangan negara bertanding.

