Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN ANALISIS BERITA

Pesilat negara tidak 'berkarat' di gelanggang

Meskipun ia kejohanan antarabangsa silat pertama diadakan sejak Covid-19 melanda sekitar dua tahun lalu
Mar 02, 2022 | 05:30 AM



KEJOHANAN Pencak Silat Asia Tenggara hujung minggu lalu merupakan kayu ukur bagi Sukan SEA Mei ini dan pasukan silat negara tidak menghampakan malah memberi amaran kepada pesaing lain di rantau ini mengenai keupayaan mereka.



Kejohanan selama tiga hari itu secara tradisi dilihat sebagai pertandingan persiapan menjelang Sukan SEA, yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini.



Ia juga adalah kejohanan antarabangsa silat yang pertama diadakan sejak Covid-19 melanda sekitar dua tahun lalu.



Dua tahun adalah masa yang lama bagi seorang atlet. Namun begitu, pesilat negara tidak kelihatan "berkarat" di gelanggang.



Bahkan setiap perlawanan yang dipertandingkan wujud semangat tinggi untuk bersaing habis-habisan dan membuktikan potensi sebenar mereka - baik pesilat yang berpengalaman mahupun muka-muka baru dalam pasukan.



Penampilan pertama pasukan silat negara, sejak Kejohanan Pencak Asia di Yanjia, China, pada Disember 2019, menyaksikan nama-nama besar dalam pasukan silat Singapura seperti juara dunia tiga kali Sheik Farhan Sheik Alau'ddin dan juara dunia 2018 Muhammad Iqbal Abdul Rahman mengesahkan semula kehebatan mereka dalam acara masing-masing.



Sheik Farhan, 24 tahun, mengalahkan musuh ketat dari Vietnam Nguyen Van Tri 20-17 dalam final acara tanding putera J (90-95 kilogram) senior, manakala Iqbal, 29 tahun, mengumpul 9.945 mata, cukup untuk menewaskan pesilat Indonesia Asep Yuldan Sani (9.900 mata) dalam final acara seni tunggal putera senior.



Sementara itu, wajah baru Nadhrah Sahrin dan gandingan baru dalam acara seni ganda dan beregu beraksi cemerlang dalam membuat penampilan sulung mereka.



Nadhrah, 17 tahun, merangkul pingat emas selepas menang 21-10 ke atas Nor Farah Mazlan dari Malaysia dalam final acara tanding puteri A (45-50 kilogram) senior.



Pasukan seni ganda dan beregu putera dan puteri negara menyapu semua pingat emas dalam empat acara yang dipertandingkan dan melakarkan persembahan yang menyakinkan, mengumpul secara purata 9.800 mata.



Tiga daripada acara itu tiada saingan kerana sama ada kurang penyertaan dari negara lain atau pesaing tidak dapat membuat perjalanan ke sini dek Covid-19.



Secara keseluruhan, Singapura membolot 25 pingat - 11 pingat emas, sembilan pingat perak dan lima pingat gangsa - daripada 25 acara yang dipertandingkan di edisi kelapan Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara.



Persoalannya kini sama ada Singapura mampu memungut jumlah pingat yang sama di Sukan SEA nanti.



Sebanyak 16 kategori akan dimainkan di Sukan SEA Hanoi, menurut ketua pegawai eksekutif Persatuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, dan beliau berharap Singapura dapat mengambil bahagian dalam semua acara itu.



Sheik Alau'ddin dalam wawancara bersama Berita Harian sebelum ini juga menetapkan sasaran untuk pasukan silat Singapura membawa pulang tiga pingat emas, tiga pingat perak dan enam pingat gangsa dari Hanoi.



Di Sukan SEA 2019, Singapura mampu meraih dua pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa sahaja.



Ini kerana hanya sebilangan kecil kategori yang dipertandingkan dalam edisi lalu temasya sukan di Manila itu.



Namun, sebelum Persisi dapat mencapai matlamatnya di Hanoi, ia kini perlu memastikan sebahagian pesilat yang bertanding di kejohanan minggu lalu menerima "lampu hijau" oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) untuk dibawa ke Sukan SEA.



Buat masa kini, hanya tiga pesilat yang disertakan dalam senarai atlet pilihan SNOC untuk mewakili Singapura bagi temasya sukan itu.



Mereka ialah Iqbal, yang juga pemenang pingat perak Sukan SEA 2019; pemenang pingat gangsa Kejohanan Pencak Silat Asia 2019, Abdul Raaziq Abdul Rashid; dan Sheik Farhan, yang memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2017.



Senarai itu dikeluarkan pada 16 Februari lalu.



Jawatankuasa permohonan SNOC bakal bertemu awal bulan ini sebelum mengeluarkan senarai muktamad atlet dalam kontinjen Singapura.



Masa semakin suntuk bagi para atlet dengan kira-kira dua bulan menjelang Sukan SEA.



Melihat prestasi persembahan pasukan silat negara baru-baru ini, ia akan menjadi satu kehilangan besar sekiranya majoriti daripada mereka tidak dapat beraksi di Hanoi.



Apakan warna pingat yang akan pesilat negara raih Mei nanti itu belakang kira.



Tetapi, natijahnya, Singapura harus bertanding dalam seberapa banyak acara yang mungkin, memberi tantangan hebat dan tidak senang-senang menghadiahkan pesaing negara lain pas percuma untuk menang pingat Sukan SEA tahun ini.



ZULAIQAH ABDUL RAHIM




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >