Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesilat S’pura raih 2 emas di Sukan Universiti Asean

Jul 9, 2024 | 3:48 PM
Pesilat Singapura, Nurul Irbah Muhammad Razali (kanan), ketika beraksi menentang, Vince Anggy Fadila, dari Indonesia dalam acara Tanding Puteri Kelas A (45-50kg) dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Malang, Indonesia, pada 5 Julai.
Pesilat Singapura, Nurul Irbah Muhammad Razali (kanan), ketika beraksi menentang, Vince Anggy Fadila, dari Indonesia dalam acara Tanding Puteri Kelas A (45-50kg) dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Malang, Indonesia, pada 5 Julai. - Foto FACEBOOK MAJLIS SUKAN UNIVERSITI SINGAPURA

Setelah 16 tahun menceburkan dirinya dalam silat, Nurul Irbah Muhammad Razali, menutup tirai kerjaya sukannya dengan penuh gaya dan sempurna.

Pesilat Singapura berusia 23 tahun itu merangkul pingat emas dalam acara Tanding Puteri Kelas A (45-50kg) dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Malang, Indonesia, pada 5 Julai.

Dalam pertandingan akhir yang mendebarkan di Universitas Muhammadiyah Malang, Irbah bangkit daripada ketinggalan pada dua pusingan pertama sebelum merapatkan jurang mata di pusingan ketiga dan mengecewakan harapan tuan rumah dari Indonesia, Vince Anggy Fadila, pada saat akhir perlawanan.

Keputusan akhir terikat pada 40-40 selepas tiga pusingan, namun Vince dikenakan lebih banyak amaran oleh wasit lantas kemenangan berpihak kepada Irbah.

Berkongsi detik kemenangan tersebut bersama Berita Harian (BH), pelajar tahun ketiga dalam jurusan Sains Hayat di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu berkata:

“Rasanya memang luar biasa sekali.

“Kemenangan pingat emas ini sangat bermakna untuk saya kerana ia adalah pertandingan terakhir saya dalam sukan ini. Ia adalah tirai penutup yang akan saya kenang selamanya sepanjang penglibatan saya dalam silat.”

Beberapa anggota keluarga dan teman Irbah juga “turun padang” ke Malang untuk turut bersorak untuknya.

“Untuk mereka turut menyaksikan kemenangan saya ini adalah sesuatu yang tidak akan dapat saya lupakan,” tambahnya.

Temasya sukan dwitahunan itu, yang disertai mahasiswa dan mahasiswi daripada universiti di Asia Tenggara, merupakan kejohanan terakhir Irbah.

Tumpuannya akan beralih ke alam pekerjaan, kongsi juara Kejohanan Pencak Silat Dunia Junior 2018 itu.

“Bagi saya, silat hanyalah hobi. Saya akan menamatkan pengajian di universiti tidak lama lagi, jadi saya ingin lebih fokus pada fasa kehidupan saya seterusnya, seperti membina kerjaya saya.

“Matlamat saya seterusnya adalah untuk mengumpul ilmu dan teknik yang telah saya pelajari daripada pengalaman ini dan mengongsinya dengan anggota lain dalam pasukan silat NUS,” kata Irbah yang mula bergiat dalam silat seawal usia tujuh tahun.

Sementara itu, rakan senegara, Aqil Syahmi Jasnee, turut meraih detik manis di AUG 2024 apabila memenangi pertandingan antarabangsa sulungnya.

Pada 6 Julai, mahasiswa tahun ketiga dalam jurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Keselamatan Maklumat) di Institut Teknologi Singapura itu dengan selesa menewaskan pesilat Indonesia, Bagus Akhsanu Amalan, 32-22, dalam final acara Tanding Putera Kelas J (90-95kg).

Ini walaupun Aqil, 26 tahun, mengakui berasa gementar sebelum berdepan lawan yang lebih berpengalaman itu.

“Sebelum final, saya ada membuat kajian mengenai lawan saya di YouTube dan mendapati beliau pesilat mantap yang telah menjuarai kejohanan di negaranya.

“Saya sedar ia bukan satu cabaran yang mudah terutamanya dengan lawan saya itu mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Apa yang membuat lebih sukar adalah ia merupakan pertarungan antarabangsa pertama saya. Jadi, saya sangat gembira sekali dengan kemenangan ini,” ujar Aqil, juara Pesta Sukan Kebangsaan 2019 dan dua kali Kejohanan Silat Tertiari pada 2019 dan 2023.

Mujur dengan bimbingan jurulatih nasional Singapura, Mohamed Noor Rafili Mohamed Ramli, yang juga jurulatihnya ketika mula menyertai silat di Politeknik Ngee Ann pada 2015, Aqil berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat gembira dengan kemenangan ini, dan melihat semua usaha dan latihan saya, secara fizikal dan mental, membuahkan hasil,” kata Aqil.

Pasukan silat Singapura di AUG 2024, yang diwakili seramai 14 atlet, membawa pulang sejumlah 12 pingat – dua emas, lima perak dan lima gangsa.

Mengulas prestasi anak buahnya, Rafili berkata pencapaian itu telah membawa sinar harapan kepada pesilat Singapura yang berada di peringkat universiti.

“Alhamdulillah saya amat berbesar hati dan gembira dengan pencapaian semua anak didik saya. Walaupun pasukan ini hanya dapat dikumpulkan pada lewat Februari, mereka begitu bersemangat untuk berlatih dengan sepenuh hati.

“Semangat juang mereka di dalam arena juga perlu dicontohi. Walaupun berdepan dengan pesilat yang lebih berpengalaman, pesilat kami tidak mudah berputus asa,” kongsi bekas juara silat negara itu.

Secara keseluruhan, kontijen Singapura meraih 11 emas, 27 perak dan 36 gangsa dalam AUG 2024, menduduki tangga kelima daripada 11 negara Asean.

Seterusnya, pesilat nasional akan bersaing dalam Terbuka Indonesia dari 10 hingga 16 Julai sebagai persiapan untuk pertandingan utama pada suku keempat 2024.

Kejohanan Pencak Silat Asia dijadual berlangsung pada Oktober, sebelum Sukan Dewan Tertutup dan Seni Mempertahankan Diri Asia pada November dan Kejohanan Pencak Silat Dunia sebulan kemudian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg