Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Petinju tendang SG Nazri Sutari gagal ulangi persembahan emas

May 11, 2022 | 5:30 AM
BUKAN REZEKI: Nazri (kiri) beraksi menentang Chhoeung Lvay dari Kemboja dalam suku akhir acara tendang rendah bawah 71kg kelmarin. - Foto SNOC/ANDY CHUA
BUKAN REZEKI: Nazri (kiri) beraksi menentang Chhoeung Lvay dari Kemboja dalam suku akhir acara tendang rendah bawah 71kg kelmarin. - Foto SNOC/ANDY CHUA -

KEMARAHAN pada raut wajah petinju tendang Singapura Nazri Sutari - dan reaksinya menumbuk tembok Gimnasium Bac Ninh di Bac Ninh, Vietnam - sejurus selepas tewas dalam suku akhir acara tendang rendah bawah 71kg adalah "gunung berapi yang sedang meletus" dalam dirinya.

Nazri, 31 tahun, kemudian meminta kepada media negara dan masa sebelum ditemu bual, untuk beliau melepaskan angin.

Setelah beberapa minit yang tegang, Nazri, yang kelihatan lebih tenang, kembali menghadapi kenyataan dan menerima hakikat kekalahan 1-2 kepada atlet Kemboja Chhoeung Lvay kelmarin.

"Okey, sekarang saya sudah tenang," kata pemenang pingat emas sambo dalam Sukan SEA 2019 itu.

Ditanya apa yang menyebabkan kemarahannya, Nazri, tanpa mengatakan puncanya dengan jelas, memberi bayangan bahawa padanya perlawanan itu "tidak diadili secara tepat" oleh juri.

Beliau, yang setinggi 1.67 meter, mengalami pusingan pembukaan mencabar cuba mengatasi lawan yang lebih tinggi.

Namun, Nazri, petinju tendang nombor satu Asia Tenggara menurut ranking Persatuan Pertubuhan-Pertubuhan Tinju Tendang Sedunia (Wako), berjaya menyesuaikan diri pada taktik Lvay dan bangkit semula selepas melakukan beberapa aksi pertahanan dalam dua pusingan seterusnya.

Apapun, usahanya tidak dicerminkan pada markah yang tertera di skrin televisyen.

"Saya terkejut apabila sebelum pusingan ketiga, jurulatih saya kata saya sedang kalah. Saya fikir ia mustahil sebab jelas saya meraih lebih banyak mata daripada lawan saya.

"Jika mereka ingin mengambil kira jumlah tendangan yang dikenakan pada badan saya, saya percaya saya berjaya menghalangnya. Anda boleh lihat lengan saya merah," ujar Nazri sambil menunjukkan lengan kirinya.

"Semua atlet telah banyak berkorban bagi mempersiapkan diri mereka untuk detik ini. Dan apabila kemenangan dirampas sebegitu, ia sebenarnya amat menyedihkan dan mengecewakan."

Sejak sebulan lalu, Nazri menjalani latihan di Serbia di bawah jurulatih Aleksandar Topic dan bersaing di sana sebagai sebahagian persiapannya bagi Sukan SEA.

Dalam satu wawancara bersama Berita Harian sebelum ini, Nazri meletak harapan tinggi dapat meraih pingat emas pertama Singapura dalam tinju tendang di temasya sukan ini.

Perjuangan itu, malangnya, terhenti dalam perlawanan pertama kelmarin dalam kalangan lapan pesaing, dan Nazri terpaksa menunggu lebih lama untuk mencapai impiannya.

"Tapi kekalahan ini bukan satu penghujung. Seperti yang saya kata sebelum ini, Kejohanan Sedunia tetap matlamat akhir saya. Ini hanya satu halangan dalam perjuangan saya dan ia adalah sesuatu di luar kawalan saya.

"Saya akan terus melangkah ke depan," kata beliau dalam nada positif.

Nazri akan pulang ke tanah air sebelum berangkat ke Budapest, Hungary, bagi Piala Dunia Tinju Tendang Hungary 2022 pada 2 hingga 5 Jun.

"Jika pingat emas itu memang ditakdirkan untuk saya, maka ia akan menjadi milik saya, tidak kira apa yang berlaku... Mungkin belum rezeki saya," tambahnya. - ZULAIQAH ABDUL RAHIM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg