Topik diikuti
Pergi ke BHkuPetinju Uganda disingkir dek sondol kepala lawan
Petinju Uganda disingkir dek sondol kepala lawan
Dakwa juri berat sebelah terhadap atlet kulit hitam
Petinju Uganda disingkir dek sondol kepala lawan
SCOTLAND: Petinju Uganda, Aziz Abdul yang merupakan cucu diktator Idi Amin, disingkirkan dalam pertarungan di Sukan Komanwel selepas kelihatan menyondol kepala lawannya dari England.
Petinju berusia 25 tahun itu dikenakan tindakan selepas mengangkat kepalanya ke dagu Damar Thomas ketika kedua-dua mereka bergelut pada pusingan ketiga.
Abdul kemudiannya mendakwa hakim berat sebelah menentangnya kerana beliau seorang “orang kulit hitam Afrika”.
“Apabila anda menonton pertarungan-pertarungan lepas England, petinju mereka melakukan banyak kesalahan,” katanya.
“Saya melepaskan tumbukan berat ke atasnya, mereka tidak mengiranya. Malah, mereka mendenda saya.
“Saya orang kulit hitam Afrika. Beliau berada di tanah airnya sendiri.”
Sebelum pertarungan kelas berat super itu, Abdul memberitahu BBC beliau mahu menjadi ‘Raja Scotland’ yang baharu, merujuk kepada tindakan Amin mengisytiharkan gelaran itu untuk dirinya sendiri pada 1976.
Selepas merampas kuasa menerusi rampasan kuasa pada 1971, Amin mentadbir sebuah rejim kejam yang mengorbankan kira-kira setengah juta nyawa. Beliau turut dikenali sebagai ‘Penyembelih Uganda’.
Abdul, yang tidak pernah bertemu datuknya, cuba mengejar pingat tinju Komanwel pertama Uganda sejak Auckland pada 1990, sesuatu yang pasti akan tercapai sekiranya beliau berjaya menewaskan Thomas.
Sebaliknya, beliau diberikan amaran pada dua pusingan sebelumnya dan ketinggalan pada kesemua kad markah hakim.
“Apa yang boleh saya katakan mengenai perkara ini ialah keputusan itu tidak betul, saya tidak berpuas hati,” katanya.
“Beliau menyiku saya. Ia [pergerakan kepala itu] tidak disengajakan. Saya cuba untuk bangkit semula. Bagaimana saya boleh menyondol kepala seseorang? Saya tidak akan berbuat begitu.
“Beliau ialah orang yang mereka mahu menang. Beliau pemenang sebelum ini.
“Saya tahu jika saya tidak berjaya menumbangkan lawan, saya tidak dapat memenangi pertarungan itu.”
BBC Sport telah menghubungi penganjur Sukan Komanwel dan World Boxing untuk mendapatkan respons terhadap kenyataan Abdul.
Thomas, yang kini dijamin sekurang-kurangnya pingat gangsa, berkata itu “bukan cara” yang beliau mahukan untuk menang.
“Saya tidak dapat mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi saya boleh mengawal cara saya bertinju pada 31 Julai,” katanya.
Amin, yang juga seorang peninju, tertarik dengan Scotland selepas berkhidmat dalam King’s African Rifles semasa beliau berusia 20-an tahun.
Pada kemuncak rejimnya, beliau gemar memakai kilt dan bermain begpaip — malah mengisytiharkan dirinya sebagai “Raja Scotland” pada 1976.
Beberapa tahun kemudian, kegemaran itu turut mengilhamkan sebuah filem pemenang Oscar, The Last King of Scotland, dibintangi Forest Whitaker dan James McAvoy.
Dalam satu temu bual sebelum ini, Abdul berkata beliau “terinspirasi” oleh Amin, walaupun tidak begitu jelas sama ada beliau merujuk kepada pencapaian tinju datuknya atau sebaliknya.
Bercakap kepada media, beliau enggan menjawab apabila ditanya sama ada beliau berbangga menjadi cucu diktator tersebut, tetapi beliau membincangkan persoalan mengenai perasaannya apabila dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai reputasi sekelam itu. – Agensi berita.