DOHA: Arab Saudi mencetus kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan juara dua kali, Argentina 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan C di Stadium Lusail, dekat sini, sebentar tadi.
Berada dalam kedudukan ke-51 dunia, Arab Saudi tampak bakal menjadi pasukan belasahan selepas Lionel Messi membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi sepakan penalti.
Argentina seharusnya selesa pada babak pertama namun tiga jaringan mereka dibatalkan kerana ofsaid.
Arab Saudi bangkit selepas rehat dalam tempoh 10 minit menerusi jaringan penyamaan Saleh Al-Shehri sebelum Salem All Dawsari memberikan gol kemenangan.
Skuad yang dikenali sebagai Green Falcons bertahan dengan baik apabila berjaya menyekat jentera serangan Argentina yang dibarisi bintang untuk kemenangan keempat mereka di pentas Piala Dunia.
Anak buah Lionel Scaloni hadir di Qatar sebagai antara pasukan pilihan dengan rekod tanpa kalah dalam 36 perlawanan termasuklah menjuarai Copa America 2021.
Arab Saudi akan bertemu Poland pada Sabtu manakala Argentina pula akan bertemu Mexico. - Agensi Berita/Berita Harian Malaysia
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg