SRIKANDI renang para Singapura Yip Pin Xiu menghasilkan kempen Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang sempurna selepas menang pingat emas keduanya semalam, daripada dua acara yang beliau tandingi di temasya sukan itu.
Bendera Singapura sekali lagi dinaikkan di Pusat Akuatik Tokyo petang semalam ketika Yip muncul juara dalam acara final kuak lentang 50 meter S2 wanita.
Yip, 29 tahun, mempertahankan pingat emasnya dalam acara ini - yang diraih di Sukan Paralimpik Rio pada 2016 - dalam masa 1 minit 2.04 saat.
Miyuki Yamada dari Jepun mengakhiri perlumbaan di tempat kedua (1:06.98) sementara warga China Feng Yazhu (1:11.55) membawa pulang pingat gangsa.
Di Rio 2016, Yip menjuarai acara ini dalam masa rekod dunia 1:00.33.
Melangkah ke final, Yip muncul perenang terpantas daripada sembilan pesaing dalam pusingan saringan, mencatat masa 1:03.62 pada awal pagi semalam.
Kemenangan semalam juga merupakan pingat emas kedua Singapura di Sukan Paralimpik Tokyo.
Minggu lalu, Yip mempertahankan takhtanya dalam acara final kuak lentang 100 meter S2 wanita.
Beliau meraih pingat emas dalam masa 2:16.61, di depan Tamada (2:26.18) dan warga Mexico Fabiola Ramirez (2:36.54).
Beliau juga memegang rekod dunia 2:07.09 bagi acara ini, yang dicatat di Sukan Rio pada 2016.
Rakan perenang negara Toh Wei Soong akan beraksi pagi ini dalam pusingan saringan kupu-kupu 50 meter S7 lelaki.
Ini merupakan acara terakhir kontinjen Team Singapore di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Toh, 22 tahun, sebelum ini telah bersaing dalam acara final gaya bebas 400 meter S7 dan final gaya bebas 50 meter S7 di Tokyo.
Dalam edisi Sukan Paralimpik kali ini, Singapura diwakili oleh 10 atlet para dalam enam cabang sukan - angkat berat, atletik, berbasikal, ekuestrian, memanah dan renang.,
Sukan Paralimpik Tokyo, yang berlangsung sejak 24 Ogos lalu, akan menutup tirainya pada Ahad ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg