MILAN: Juara bertahan Serie A, AC Milan, berkata ia telah menerima kenyataan maaf daripada polis setelah pemain midfieldnya, Tiemoue Bakayoko, ditahan dan diperiksa dalam operasi mencari suspek satu kejadian tembakan.
Kejadian itu berlaku di Milan pada 3 Julai namun baru menjadi viral di media sosial kelmarin.
Dalam video itu, pemain berusia 27 tahun itu, yang dipinjamkan ke Milan dari kelab England, Chelsea, dilihat diperiksa oleh dua pegawai polis bersenjata, dengan seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah kereta Bakayoko.
Selepas perbualan beberapa minit antara pemain asal Perancis itu dan polis, Bakayoko dilepaskan.
"Selepas satu kejadian tembakan di kawasan pemain itu ditemui dan ditahan, polis sedang melakukan pemeriksaan rutin," kata jurucakap Milan.
"Pemain kami diminta berhenti dan diperiksa namun setelah polis mengesahkan identiti beliau, tiada apa-apa berlaku dan beliau dibenarkan pergi selepas polis memohon maaf," ujar jurucakap itu lagi.
Bagaimanapun, dalam kenyataannya kepada agensi berita Reuters, polis Milan berkata pemeriksaan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada konteks operasi keselamatan dan dilakukan mengikut prosedur keselamatan tertinggi.
"Juga sebagai melindungi keselamatan, pemeriksaan itu juga dilakukan dengan cara yang konsisten dengan keadaan kecemasan yang sedang berlaku.
"Setelah individu itu dikenal pasti dan disahkan beliau tidak terlibat, beliau bebas meneruskan perjalanannya," kata jurucakap polis itu.
Bakayoko menyertai Milan setelah dipinjamkan daripada Chelsea musim lalu.
Beliau bermain 18 kali bagi kelab yang diberi gelaran Rossoneri itu musim lalu, yang menyaksikan Milan keluar sebagai juara. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg