Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Potter capai persetujuan sertai Chelsea

Sep 9, 2022 | 6:53 AM
PILIHAN UTAMA: Graham Potter telah diberi kebenaran oleh Brighton untuk berunding dengan Chelsea. - Foto REUTERS
PILIHAN UTAMA: Graham Potter telah diberi kebenaran oleh Brighton untuk berunding dengan Chelsea. - Foto REUTERS -

LONDON: Bos Brighton & Hove Albion, Graham Potter difahami telah mencapai persetujuan secara lisan dengan Chelsea untuk berpindah ke kelab itu, selepas mengadakan rundingan semalam, kata media Britain.

Chelsea terdesak mencari pengganti bagi Thomas Tuchel yang dipecatnya kelmarin, hanya beberapa jam selepas kelab itu tewas kepada Dinamo Zagreb dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Difahami, Potter, 47 tahun, antara dua pengurus yang sedang dipertimbangkan oleh Chelsea bagi mengisi jawatan pengurus yang dikosongkan itu.

Seorang lagi calon ialah bekas pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, walaupun pada masa ini, Potter dilihat sebagai pilihan utama.

Kelmarin, Brighton mengesahkan ia telah memberi kebenaran kepada Potter, yang pernah memimpin Swansea dan Ostersunds FK, untuk mengadakan rundingan dengan Chelsea.

Nama beliau mengharum musim ini selepas memimpin Brighton ke tangga keempat Liga Perdana England (EPL) dengan kutipan 13 mata daripada enam perlawanan pertama.

Beliau dilantik sebagai pengurus di kelab itu pada Mei 2019 dan sejak itu, telah membawa kelab itu ke tempat ke-15, ke-16 dan kesembilan dalam tiga musim beliau mengendalikannya.

Corak permainan yang diminatinya, iaitu membiarkan pasukan menyerang dan bertahan dalam struktur yang fleksibel tetapi berdisiplin telah menarik perhatian musim ini.

Namun, pelantikannya sebagai pengurus di Chelsea tidak lama lagi telah menarik reaksi berbelah-bagi dalam kalangan pemerhati bola sepak.

Jamie Carragher, bekas pemain Liverpool yang kini menjadi juruanalisis bola sepak di televisyen berkata Potter harus menerima jawatan itu dengan penuh kesedaran ia 'kerusi panas' dan tidak menawarkan kestabilan yang dinikmatinya di Brighton.

"Chelsea ialah kelab yang dikendalikan tanpa emosi dan berpandukan matlamat yang ditetapkan. Kedudukannya akan tergugat sebaik sahaja keputusan yang diharapkan tidak timbul," kata beliau, yang memberi contoh pengalaman Tuchel di sana.

Chelsea bak tidak berfikir dua kali sebelum memecat Tuchel, walaupun pengurus yang berasal dari Jerman itu memenangi tiga trofi dalam tempoh 20 bulan di Stamford Bridge.

Difahami, hubungan beliau dengan pemain dan pemilik Chelsea rapuh dan pemain telah menyuarakan rasa kurang selesa beraksi di bawah bimbingannya.

Namun, bekas pemain pertahanan England, Jonathan Woodgate berkata Potter kini berpeluang membuktikan potensi beliau sebagai jurulatih hebat di kelab yang besar seperti Chelsea, lebih-lebih lagi selepas namanya disebut-sebut sebagai calon untuk menjadi pengurus England di masa depan.

Namun beliau akur tetap terkejut dengan layanan yang diberikan kepada Tuchel.

"Saya mendapati ia satu keputusan yang pelik (untuk memecat Tuchel) apabila saya mendengarnya pagi ini.

Ia membingungkan tetapi itulah dunia pengurusan, saya pasti beliau akan berpindah ke kelab terkemuka lain," kata Woodgate.

Pemilik baru Chelsea telah berbelanja £255.3 juta ($412.86 juta) untuk membeli lapan pemain baru musim ini.

Namun, pelaburan itu belum lagi meraih hasil, dengan Chelsea bergelut memenangi perlawanan dan kini berada di tangga keenam liga. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg