Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Potter tarik nafas lega, Chelsea menang untuk ke suku akhir

Gol-gol Raheem Sterling dan Kai Havertz beri kemenangan berharga kepada 'The Blues' yang gagal menyerlah dalam liga domestik
Mar 9, 2023 | 5:30 AM
RAIKAN GOL: Pemain Benfica, David Neres (kanan), meraikan golnya semasa membantu kelab Portugal itu menang besar 5-0 ke atas Club Brugge. - Foto EPA-EFE
RAIKAN GOL: Pemain Benfica, David Neres (kanan), meraikan golnya semasa membantu kelab Portugal itu menang besar 5-0 ke atas Club Brugge. - Foto EPA-EFE -

LONDON: Pengurus Chelsea, Graham Potter, boleh menghembuskan nafas lega selepas pasukannya menewaskan Borussia Dortmund 2-0 dalam perlawanan kedua pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu.

Raheem Sterling dan Kai Havertz, yang mengambil dua kali sepakan penalti, menyumbangkan gol-gol bagi The Blues untuk mengurangkan tekanan ke atas Potter.

Dengan kemenangan itu, mereka mencatatkan agregat 2-1 dan mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-juara.

Perlawanan pertama kedua-dua pasukan menyaksikan Chelsea tewas 0-1 di padang lawan.

Tugas Potter menjadi persoalan sejak kebelakangan ini selepas pasukan pimpinannya itu terkial-kial dalam liga domestik sungguhpun selepas membelanjakan kira-kira £288 juta ($461.6 juta) pada tempoh pemindahan Januari.

Chelsea hanya menang tiga daripada 16 perlawanan sebelum ini untuk menduduki tangga ke-10 Liga Perdana England (EPL).

Bagaimanapun, beberapa bintang mahal mereka memberikan prestasi hebat untuk bantu kelab Stamford Bridge itu dalam usaha memburu kejuaraan Eropah yang ketiga.

Potter berkata: "Terdapat perasaan yang hebat di dalam bilik persalinan. Kami telah melalui tempoh yang sukar dan pertandingan ini amat bermakna buat kami.

"Kami ingin terus mara dan berada dalam kedudukan lapan pasukan terakhir, sebelum melakukan persediaan bagi beberapa minggu yang akan datang."

Dortmund bertandang ke Stamford Bridge dengan rekod 10 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Namun, pasukan pelawat jarang memberikan ancaman serangan pada separuh masa pertama, kecuali bagi sepakan percuma oleh Marco Reus yang diselamatkan oleh penjaga gawang Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Pengurus Dortmund, Edin Terzic, berkata: "Kami perlu akui, sepanjang dua perlawanan, Chelsea layak untuk ke pusingan seterusnya."

Dalam pada itu, keputusan untuk membenarkan Havertz mengambil semula sepakan penalti adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, jelas pemain midfield Dortmund, Jude Bellingham.

Chelsea dihadiahkan sepakan penalti pada separuh masa kedua selepas hantaran lintang Ben Chilwell terkena tangan pemain pertahanan Dortmund, Marius Wolf.

Sepakan yang diambil Havertz terkena tiang namun penalti itu perlu diambil sekali lagi selepas Video Penolong Pengadil (VAR) mengesan pemain Dortmund membuat pergerakan lebih awal ke dalam kotak penalti.

Havertz tidak mensesiakan peluang kedua itu untuk melebarkan jaringan, lantas membantu Chelsea melangkah ke suku akhir.

"Saya tidak pasti apa lagi yang boleh beliau lakukan dengan tangannya.

"Perkara itu sendiri amat mengecewakan dan semasa mereka diarahkan untuk mengambil semula sepakan penalti, saya rasa ia adalah satu bahan jenaka," jelas Bellingham kepada BT Sport, merujuk kepada bola yang terkena tangan Wolf.

Terzic pula berkata sebagai pengurus, beliau tidak ingin memanjangkan isu itu kerana ingin tumpu kepada prestasi pasukannya.

"Sebagai pengurus pasukan, saya bertanggungjawab ke atas prestasi pasukan dan kakitangan, tetapi bukan prestasi pengadil.

"Kami tidak banyak bercakap mengenai pengadil minggu lalu dan kami tidak akan memulakannya malam ini," tambah beliau.

Dalam pada itu, Benfica membenam Club Brugge 5-1 di laman sendiri dalam perlawanan kedua pusingan 16 pasukan terakhir mereka pada Rabu.

Gol jaringan Rafa Silva, Goncalo Ramos, Joao Mario dan David Neres memastikan pasukan liga Portugal itu mara ke peringkat suku akhir. - Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg