Presiden Perses rancang cabar semua dakwaan yang dikemukakan Astaf

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Perses rancang cabar semua dakwaan yang dikemukakan Astaf

Nasri didakwa berkomplot dengan bekas Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia untuk burukkan reputasi Astaf menjelang Kongres Pemilihan Majlis Astaf Mac 2021
Apr 12, 2022 | 5:30 AM

Presiden Perses rancang cabar semua dakwaan yang dikemukakan Astaf

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
DIDAKWA: Presiden Perses, Nasri Haron, menghadapi enam tuduhan menyalahi undang-undang kecil Astaf berhubung tatatertib setelah didakwa mengeluarkan kenyataan yang berniat merosakkan reputasi kepimpinan dan majlis eksekutif Astaf. Ini antara dakwaan dikeluarkan dan ditandatangani oleh setiausaha agung Astaf, Boonchai Lorhpipat (atas). - Foto ASTAF, file
DIDAKWA: Presiden Perses, Nasri Haron, menghadapi enam tuduhan menyalahi undang-undang kecil Astaf berhubung tatatertib setelah didakwa mengeluarkan kenyataan yang berniat merosakkan reputasi kepimpinan dan majlis eksekutif Astaf. Ini antara dakwaan dikeluarkan dan ditandatangani oleh setiausaha agung Astaf, Boonchai Lorhpipat (atas). - Foto ASTAF, file -

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Singapura (Perses), Nasri Haron, yang berdepan tindakan tatatertib oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), menegaskan beliau akan menentang semua pertuduhan tersebut, dan mendakwa badan pentadbir sepak takraw Asia itu telah bertindak di luar kuasanya.

Nasri, 62 tahun, dikenakan tindakan tersebut selepas didakwa berkomplot dengan bekas Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, untuk memburuk-burukkan reputasi Astaf menjelang Kongres Pemilihan Majlis Astaf 2021-2025 pada 1 Mac tahun lalu.

Ketua Perses itu menghadapi enam tuduhan menyalahi undang-undang kecil Astaf berhubung tatatertib setelah didakwa mengeluarkan kenyataan yang berniat merosakkan reputasi kepimpinan dan majlis eksekutif Astaf.

Beliau dikatakan membuat kenyataan tersebut dalam sekeping surat dan dua e-mel yang dikirimkan kepada anggota Astaf dan kemudiannya dihantar kepada para pegawai Majlis Olimpik Asia dan Majlis Olimpik Antarabangsa pada Februari 2021.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 4 April dan ditandatangani oleh setiausaha agung Astaf, Boonchai Lorhpipat, Astaf berkata ia telah menyerahkan notis pertuduhan itu kepada Nasri pada 26 Mac lalu.

"Buat masa ini, Nasri digantung daripada sebarang kegiatan berkaitan sukan sepak takraw termasuk memegang jawatan atau kedudukan berhubung sukan tersebut berkuatkuasa serta-merta," kata kenyataan itu.

Nasri bagaimanapun memberitahu Berita Harian (BH) beliau tidak menerima notis berkenaan pada tarikh yang dikatakan itu.

Sebaliknya, beliau hanya menerima surat bertarikh 28 Mac yang ditujukan kepada Timbalan Presiden Perses, Shahril Abdul Gani, dan Setiausaha Agung Perses, Zahid Abdul Aziz, bagi memaklumkan Nasri dilarang terbabit dengan sebarang aktiviti sepak takraw dan perlu dilucutkan semua jawatan yang disandangnya.

Lorhpipat, dalam satu surat kepada Nasri bertarikh 7 April yang dilihat oleh BH, berkata pihaknya sudah menghantar notis pertuduhan berkenaan ke e-mel peribadi Nasri serta e-mel pejabat Perses pada 26 Mac lalu.

"Astaf tetap berpendirian yang kami sudah menghantar e-mel kepada anda berhubung pertuduhan itu menerusi e-mel peribadi termasuk juga e-mel pejabat Perses, masing-masing pada 26 Mac 2022 pada 12.50 pagi dan 1.08 pagi.

"Walau bagaimanapun, di bulan suci Ramadan ini yang disambut umat Islam, Astaf bersetuju untuk sekali lagi menghantar notis pertuduhan itu, memandangkan Astaf melihat jawapan tertuduh adalah penting untuk memastikan pertuduhan dijawab dan keadilan serta ketertiban dapat dipelihara," katanya.

Justeru, Astaf menyerahkan satu lagi notis kepada Nasri pada 7 April lalu, yang telah diterima Nasri menerusi pos pada 8 April.

Nasri mempunyai 14 hari daripada tarikh surat berkenaan untuk memberikan respons kepada Astaf.

Mengulas lanjut, Nasri berkata beliau telah meminta nasihat daripada Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dan Sport Singapore (SportSG) sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap dakwaan Astaf.

Beliau dijangka bertemu SportSG dalam masa terdekat ini untuk membincangkan langkah seterusnya.

Nasri menegaskan beliau tetap akan mempertahankan dirinya daripada tuduhan yang dianggap sebagai "tidak berasas" itu.

Nasri dilantik sebagai presiden Perses untuk penggal selama tiga tahun menyusuli kemenangannya dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pada November 2019.

Beliau, yang sebelum ini merupakan Timbalan Presiden, menggantikan tempat Abdul Halim Kader yang menerajui Perses hampir 20 tahun.

Halim juga adalah Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

DIARAH LUCUT SEMUA JAWATAN BERKAITAN SEPAK TAKRAW

"Kami menerima surat bertarikh 28 Mac 2022 yang ditujukan kepada Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Perses memberitahu mereka bahawa saya telah digantung daripada semua aktiviti sepaktakraw berkuat kuasa serta-merta dan saya harus dilucutkan daripada semua jawatan yang berkaitan sepak takraw... mereka (Astaf) tidak berpuas hati kerana saya berani mengkritik kekurangan dan ketidakcekapan mereka." - Presiden Perses, Nasri Haron.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg