MANCHESTER: Bidaan dari konglomerat Qatar dipimpin Sheikh Jassim Bin Hamad Al Thani dan hartawan Britain, Sir Jim Ratcliffe, untuk membeli Manchester United telah beralih ke fasa seterusnya dalam proses pengambilan alih hak milik kelab gergasi dunia itu.

Sky Sports dan The Telegraph berkata pihak yang membuat bidaan tersebut kini diberi peluang untuk melakukan pemeriksaan ke atas kelab tersebut dan akan diberi akses penuh kepada maklumat kewangan Manchester United.

Kededua bidaan itu tidak memenuhi permintaan £6 bilion ($9.71 bilion) yang diminta keluarga Glazer, yang merupakan pemilik United sekarang.

Pemilik asal Amerika Syarikat itu tidak pernah mendapat sokongan penuh penyokong kelab Red Devils itu setelah membebankan kelab tersebut dengan hutang sejumlah £790 juta, menyusuli pembelian mereka pada 2005.

Pada masa yang sama, United juga telah melihat prestasi dan pencapaian di padang merosot sepanjang tempoh pemilik Glazers itu, terutama selepas persaraan Sir Alex Ferguson sebagai pengurus.

Kemenangan ke atas Newcastle United minggu lalu dalam final Piala Liga Carabao merupakan trofi pertama kelab tersebut dalam tempoh enam tahun dan kali terakhir United menjulang kejuaraan Liga Perdana England ialah sedekad yang lalu.

Menerusi bidaannya, Sheikh Jassim, mahu memiliki 100 peratus kawalan ke atas United, yang merupakan juara Liga England sebanyak 20 kali, dan telah mendapat sokongan penyokong menerusi saranannya untuk membersihkan hutang United.

Namun, sebahagian penyokong telah melahirkan keprihatinan mengenai rekod hak asasi manusia Qatar, selain masalah yang mungkin timbul dengan pemikikan Qatar pada kelab Perancis, Paris Saint-Germain.

Syarikat Ineos milik Sir Ratcliffe pula mengemukakna saranan untuk mendapatkan kawalan majoriti ke atas United dengan membeli saham yang dipegang keluarga Glazer.

Seorang penyokong United sejak kecil, Sir Ratcliffe adalah antara individu paling kaya di Britain dan dipercayai bernilai lebih £12.5 bilion hasil kejayaan syarikat kimia globalnya itu. - AFP.